Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jadikan taman awda mesra burung

    Oleh Jessica Damiano – 

    Saya baru sahaja membersihkan dan mengisi semula beberapa bekas makanan burung bagi membantu rakan-rakan kecil saya di halaman belakang menambah tenaga untuk perjalanan panjang ke selatan.

    Saya juga akan memastikan bekas itu sentiasa penuh dengan campuran biji benih berkhasiat sepanjang musim sejuk bagi memberi makan kepada burung yang
    tidak berhijrah dan kekal di taman saya di pinggir bandar New York hingga musim bunga tiba.

    Lagipun, pada waktu inilah, ketika taman mula perlahan aktivitinya, burung paling memerlukan bantuan kita. Menyediakan makanan ialah salah satu daripada beberapa cara kita boleh menyokong kelangsungan hidup mereka.

    Apabila memilih ‘makanan untuk perjalanan’ untuk burung, saya sentiasa mencari sumber lemak dan protein berkualiti tinggi seperti kacang tanah tanpa garam, biji bunga matahari hitam dan suet, iaitu kek yang dibuat daripada lemak haiwan, biji, bijirin dan larva (mealworms).

    Saya juga akan menyediakan sedikit nektar air gula untuk burung kolibri yang sedang berhijrah, dengan melarutkan satu cawan gula putih ke dalam empat cawan air mendidih
    dan membiarkannya sejuk sebelum digunakan.

    Seekor burung jay biru kelihatan di tempat makan burung di Lutherville-Timonium, Maryland. – AP
    Daun-daun berwarna-warni yang gugur menutupi tanah di batas taman di Long Island, New York. – AP
    Tanaman bunga kon yang telah layu di Long Island, New York. – AP
    Buah beri merah pada pokok holly Amerika di Long Island, New York. – AP

    Semua ini berfungsi sebagai pelengkap kepada ‘bufet semula jadi’ biji dan beri yang dihasilkan oleh tanaman saka, pokok renek dan pepohon di taman saya.

    TANAMAN SAKA SEBAGAI SUMBER MAKANAN, TEMPAT TINGGAL & KEINDAHAN

    Sudah lama saya meninggalkan idea untuk mengekalkan taman musim sejuk yang kemas.

    Sebaliknya, saya membiarkan kebanyakan tanaman saka, kebanyakannya spesies tempatan, kekal berdiri hingga musim bunga.

    Biji benih yang tersembunyi di kuntum bunga yang kering itu menjadi sumber makanan penting bagi burung yang tidak berhijrah dan terpaksa bertahan di sini sepanjang musim sejuk, ketika sumber makanan lain sukar diperoleh.

    Aster, bunga kon, black-eyed Susan, goldenrod dan rumput hiasan akan kering tidak lama lagi, namun tetap memainkan peranan penting dalam menyokong kehidupan taman selama berbulan-bulan.

    Begitu juga dengan buah beri yang tersembunyi di ce-lah daun berduri pokok holly Amerika saya, serta buah yang masih melekat pada dahan pokok viburnum dan dogwood yang bakal menggugurkan daunnya.

    Jika bernasib baik, buah berkulit keras akan jatuh ke tanah dalam ‘bungkusan kon pain’ mereka, walaupun saya menjangkakan tahun ini bukan tahun yang baik untuk pokok spruce Norway saya.

    Jika awda belum berbuat demikian, pertimbangkan untuk membiarkan tanaman saka yang telah layu kekal sepanjang musim sejuk. Selain membantu hidupan liar, awda juga akan mendapat manfaatnya.

    Kicauan burung pada musim sejuk adalah hiburan istimewa di taman saya dan pemandangan kepala bunga yang dilitupi salji dari jendela rumah jauh lebih indah daripada tanah lapang yang kosong di taman jiran saya yang telah dibersihkan sepenuhnya.

    TAMBAH POKOK DAN TANAMAN LAIN

    Jika landskap awda belum mempunyai tanaman yang menghasilkan biji atau buah beri, awda sebenarnya bertuah. Musim luruh awal ialah masa terbaik untuk menanam pokok renek dan tanaman saka, tambahan pula harganya mungkin jauh lebih murah di pusat taman.

    Pertimbangkan juga untuk menanam pokok. Pokok oak, fir, hickory dan konifer antara yang menyediakan sumber makanan, tempat berlindung dan tapak sarang berkualiti untuk burung.

    Persahabatan dengan makhluk berbulu ini akan lebih terasa pada musim bunga apabila mereka ‘membalas budi’ dengan membantu mengawal serangga secara semula jadi, memberi makan anak-anak mereka dengan ribuan serangga yang sebaliknya akan merosakkan tanaman awda.

    BIARKAN DAUN GUGUR DAN KURANGKAN CAHAYA

    Menolak daun-daun gugur ke dalam batas tanaman bagi menebat akar dan memperkayakan tanah juga membantu melindungi serangga yang sedang berhibernasi, yang seterusnya menjadi sumber makanan bagi burung pemakan tanah.

    Kaedah ini bukan sahaja lebih baik untuk ekosistem, malah lebih mudah untuk tukang kebun berbanding mengumpul daun dan menghantarnya ke tapak pelupusan sampah.

    Saya juga akan menanggalkan lampu landskap berkuasa solar dan mematikan lampu beranda selama beberapa bulan akan datang untuk mengelakkan burung berhijrah daripada tersesat arah, kerana mereka bergantung kepada cahaya bulan dan bintang sebagai panduan semula jadi dalam perjalanan mereka ke selatan.

    Ia merupakan sistem navigasi semula jadi mereka seakan-akan GPS dan saya tidak mahu menjadi penyebab gangguan terhadapnya.

    Akhirnya, menjaga burung pada bulan-bulan paling sukar ini adalah hadiah yang akan ‘terbang kembali’ kepada awda dalam bentuk kicauan, warna dan kehidupan yang terus menghidupkan taman awda. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda