KUALA BELAIT, 2002 – Pihak berkuasa percaya bahawa mereka telah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah secara berkumpulan yang membawa masuk dadah ke negara ini dengan membabitkan wanita cantik dan seksi ekoran tertangkapnya tiga orang daripada mereka di salah sebuah hotel dekat sini.
Ketiga-tiga tertangkap, dua lelaki berusia 21 dan 41 tahun serta seorang remaja berusia 18 tahun, semuanya warga tempatan, dipercayai antara mereka yang bergiat cergas dan beroperasi secara licik selama ini. Mereka didapati melakukan kegiatan berkenaan di salah sebuah bilik hotel terkemuka di pekan ini melalui serbuan Bahagian Pelaksana dan Perisik Biro Kawalan Narkotik (BKN) Kuala Belait.
Serbuan kira-kira pukul 10:15 malam itu juga mendapati mereka yang terbabit menggunakan telefon bimbit untuk berhubung dengan pelanggan, malah kegiatan pengambilan dadah juga dipercayai dilakukan ekoran terdapatnya beberapa peralatan menggunakan dadah di bilik berkenaan.
“Sindiket ini juga menggunakan seorang wanita cantik dan sudah bergiat dalam kegiatan ini sejak April (2002),” kata sumber.
BKN mengambil masa kira-kira tiga jam dan terpaksa menyamar untuk menjalankan pemerhatian terhadap kegiatan yang dilakukan di hotel yang disewa sejak awal bulan.
Sewa dibayar berkongsi secara mingguan dengan menggunakan nama samaran dan pembayaran dengan kad kredit juga menggunakan nama samaran. Kegiatan ini dilaporkan dilakukan setiap malam di bilik yang sama. BKN kemudian mengekori salah seorang daripada mereka yang baru hendak masuk ke bilik itu dan menyebu.
Mereka merampas telefon bimbit lelaki berkenaan dan mendapati menerima banyak pesanan pelanggan untuk mendapatkan dadah. Daripada serbuan itu, BKN merampas beberapa bungkus plastik berisi pecahan kristal dipercayai Syabu yang dibungkus dalam beberapa bentuk ukuran.
Turut dirampas adalah satu alat timbangan elektronik dan beberapa perkakas yang diubahsuai, dipercayai digunakan untuk menghisap dadah. Wang kertas berjumlah $258 dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah turut dirampas.