Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jadilah belia harapan negara

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Peranan belia pada masa ini bukan sekadar terlibat dengan membina kerjaya atau aktiviti untuk memenuhi masa lapang dan hobi saja.

    Tetapi mereka mempunyai tanggungjawab sangat penting terutamanya dalam menjana pembangunan negara, bangsa dan agama serta turut sama menyumbang idea, masa dan tenaga ke arah pembangunan modal insan. Perkara itu ditegaskan oleh khatib dalam khutbah Jumaat hari ini bertajuk ‘Belia Berwawasan Tanpa Dadah’.

    Menurut khatib, dalam hasrat dan cita-cita negara untuk membangun ummah, membangun bangsa dan negara, ia bukan hanya bergantung kepada kemantapan ekonomi semata-mata tapi ia juga bergantung kepada sumber tenaga manusia yang antaranya ialah golongan belia.

    Sejarah menunjukkan golongan belia diberikan kepercayaan dan peluang dalam memikul tanggungjawab penting seperti pengikut Rasulullah SAW yang membentuk generasi pertama Islam yang menunjukkan sifat bersedia menerima pembaharuan dalam menegakkan Islam.

    “Pada zaman sekarang memang tidak dapat dinafikan belia mudah terdedah kepada cabaran sosial seperti penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas dan sebagainya.

    Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    “Sehubungan itu, golongan belia perlu diasuh, dididik dan diberikan bimbingan yang betul dan sempurna sehingga menjadi golongan yang beriman, berilmu, beramal dan berakhlak mulia berpandukan kepada ajaran agama Islam.

    “Bimbingan tersebut akan mengukuhkan jati diri ke arah menjadikan mereka sebagai belia yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara, kerana belia dididik dan dibimbing dengan nilai Islam tidak akan mudah melakukan perkara mungkar dan maksiat,” tekannya.

    Dari itu, khatib menegaskan bahawa langkah pencegahan perlu dimulakan dari peringkat awal, untuk memberikan sokongan dan bimbingan kepada golongan belia untuk menerajui kehidupan yang berjaya dan bebas daripada jenayah dadah.

    Pada masa yang sama, pihak kerajaan serta masyarakat perlu berganding bahu bersama-sama dalam usaha membasmi kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah haram bagi memastikan Negara Brunei Darussalam dalam keadaan selamat, aman dan sejahtera daripada dihancurkan oleh ancaman dadah.

    Khatib turut mengongsi perka-ra yang boleh menjaga dan mengawal belia daripada terjebak dan terjerumus ke kancah dadah antaranya mempertingkatkan iman dan akhlak dengan melaksanakan amal soleh serta mengamalkan kehidupan yang sempurna berlandaskan ilmu dan agama.

    Ini kerana dengan mengamalkan cara hidup Islam adalah benteng diri yang paling kuat serta dapat menghindarkan daripada terjebak dengan perbuatan pe-nyalahgunaan dadah haram.

    Selain itu, ibu bapa juga bertanggungjawab memainkan pe-ranan terhadap perkembangan anak-anak dalam membimbing dan mendidik dari peringkat awal dengan nilai murni Islam.

    “Ibu bapa hendaklah sentiasa memata-matai kegiatan anak-anak dan memberikan ajaran dan maklumat tentang akibat buruk perbuatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah haram serta menjauhi diri terlibat dalam kegiatan yang tidak bermoral dan tidak bermanfaat,” tegasnya.

    Di samping itu, masyarakat turut berperanan memberikan sokongan dan bimbingan kepada belia untuk menerajui kehidupan yang berjaya dan bebas daripada jenayah penyalahgunaan dan pengedaran dadah haram dengan segera melaporkan kepada pihak Biro Kawalan Narkotik jika terdapat kegiatan yang mencurigakan berkaitan dadah di negara ini, tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda