Saturday, February 1, 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jadilah pengguna jalan raya yang berhemah

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN – Malang tidak berbau, tidak kira hebat atau mahirnya seseorang itu memandu, jika tidak mengutamakan sikap berwaspada dan rasa tanggungjawab yang besar dalam mematuhi undang-undang dan peraturan ketika di jalan raya, kemalangan tidak akan dapat dielakkan.

    Demi menggelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku, semua pengguna jalan raya harus sentiasa menyemai budaya mementingkan langkah-langkah keselamatan serta mengamalkan penggunaan jalan raya dengan selamat dari semasa ke semasa.

    Namun begitu, realitinya amat menyedihkan apabila berlakunya kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kecuaian dan kelalaian manusia itu sendiri sehingga mengakibatkan kecederaan dan lebih-lebih lagi melibatkan kehilangan nyawa insan-insan yang disayangi.

    Patuhi had laju

    Pastinya sebagai hamba Allah, kita mestilah sentiasa memohon keselamatan sebelum memulakan perjalanan, namun perlu ditekankan juga sebagai pengguna jalan raya mestilah sentiasa mengambil langkah dan usaha berterusan dalam mengelakkan kemalangan berlaku iaitu dengan tidak memandu melebihi had laju yang dibenarkan, sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya seperti arahan papan tanda had laju, keselamatan dan lampu isyarat serta menumpukan perhatian pemanduan kepada jalan raya semasa memandu.

    Begitu amat ditekankan juga agar para pemandu sentiasa memperlahankan kenderaan ketika menghampiri kawasan lampu isyarat, persimpangan, kawasan sekolah dan perumahan, memandu dengan hemah dan waspada di kawasan aktiviti riadah di mana ramai pengguna jalan raya berisiko tinggi seperti pejalan kaki, penunggang basikal dan motosikal.

    Semai budaya mementingkan langkah-langkah keselamatan demi melindungi semua pengguna jalan raya. – Agensi
    Penggunaan tali pinggang keledar sangat penting ketika memandu dan menumpang kenderaan demi melindungi nyawa jika berlaku perkara tidak diingini. – Agensi

    Pastikan tayar kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan sebarang perjalanan. – Agensi

    Selain itu, kita juga perlu merancang perjalanan lebih awal, elakkan sikap tergesa-gesa semasa memandu, tangguhkan perjalanan jika terasa letih, mengantuk, kurang sihat atau dalam keadaan tidak tenteram, tidak menjadikan jalan raya sebagai litar perlumbaan, bersabar dan bertawakal.

    Para pengguna jalan raya juga diingatkan dan dipohonkan untuk sentiasa peka semasa memandu dengan tidak dipengaruhi oleh elemen-elemen yang boleh mengalihkan atau mengurangkan perhatian seperti menggunakan telefon bimbit, mengambil barang-
    barang yang mengkhayalkan atau meminum sesuatu yang mengkhayalkan atau memabukkan serta memastikan kenderaan adalah berkeadaan baik dan selamat untuk diguna pakai di jalan raya seperti memastikan tayar, brek, lampu-lampu dan enjin kereta adalah baik dan berfungsi.

    Gunalah tali pinggang keledar

    Dalam pada itu, dalam usaha menyelamatkan nyawa jika berlaku perkara tidak diingini, pengguna jalan raya juga diingatkan supaya menggunakan tali pinggang keledar ketika memandu atau menjadi penumpang kenderaan.

    Kesedaran terhadap penggunaan tali pinggang keledar berkenaan perlu ditekankan kepada semua pengguna kerana kita perlu mengetahui bahawa seseorang yang tidak memakai tali pinggang keledar semasa berlakunya kemalangan berkemungkinan besar memberikan implikasi yang lebih teruk seperti berlaku hentakan dalam ruang kenderaan sehingga boleh terkeluar dari kenderaan sekali gus membawa maut.

    Bayangkan apabila tertekan brek kenderaan secara mengejut ketika berlakunya situasi cemas seperti pada tahap kelajuan di bawah 20 kilometer sejam (kmsj) sahaja kita pasti akan dapat merasai betapa kuatnya hentakan badan semasa memandu meskipun sudah menggunakan tali pinggang keledar.

    Hal ini boleh dibayangkan sewajarnya bahawa hentakan yang lebih dahsyat akan lebih dirasai bagi sesiapa yang tidak memakainya.

    Pantau keadaan tayar

    Selain itu, pemantauan dan pemeliharaan tayar kenderaan dalam keadaan baik itu juga merupakan salah satu langkah terpenting terutama dalam memastikan keselamatan di jalan raya.

    Para pemilik kenderaan mestilah sentiasa memeriksa ketebalan bunga tayar, tanda-tanda rekahan pada tayar, sentiasa memeriksa tekanan angin tayar dan jika ragu, seelok-eloknya mendapatkan khidmat juruteknik tayar yang berpengalaman dan pakar untuk melakukan pemeriksaan tayar.

    Secara umumnya, purata jangka hayat bagi tayar kenderaan adalah dalam tempoh lima tahun yang mana tidak disarankan untuk membeli sebarang tayar yang sudah melebihi tempoh lima tahun dari tarikh keluarannya.

    Manakala tempoh hayat tayar dianggap tamat apabila mencapai tiga tahun dari hari pertama ia dipasang pada sesebuah kenderaan.

    Oleh yang demikian para pengguna disarankan untuk mengenal pasti simbol-simbol yang terkandung pada tayar seperti tarikh pembuatan, lebar, nisbah ketinggian, radial, garis pusat, indeks beban dan juga kelajuan maksimum.

    Selain itu, aspek kepentingan penjajaran tayar (wheel alignment) juga perlu dititikberatkan oleh pemilik kenderaan. Ini kerana penjajaran tayar itu penting untuk meningkatkan jangka hayat dan prestasi tayar dan juga menggelakkan daripada ketidakseimbangan stereng dan kenderaan.

    Bersama menjadi pengguna bertanggungjawab

    Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama yang perlu ditanai dan diamalkan semua pengguna jalan raya. Semoga dengan adanya langkah-langkah mengutamakan aspek keselamatan seperti ini dapat meningkatkan kesedaran pengguna jalan
    raya.

    Ingatlah orang-orang yang tersayang dengan menjadikan diri kita sebagai seorang pengguna jalan raya yang memiliki sikap penuh berhati-hati, berhemah dan beretika serta mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya dari semasa ke semasa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda