Monday, May 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jadilah wira jantung

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Penyakit kardiovaskular termasuk penyakit jantung dan strok merupakan penyebab utama kematian di seluruh dunia, yang mana ia menyebabkan lebih kurang 17.9 juta kematian setiap tahun dan jika tidak dibendung, ia dijangka terus meragut lebih kurang 23 juta kematian pada 2030.

    Di Brunei, penyakit kardiovaskular merupakan penyebab kematian kedua tertinggi selepas kanser, yang mana penyakit tersebut menyumbang kepada hampir 25 peratus punca kematian pada tahun 2018.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Hari Jantung Sedunia 2019.

    Dalam perutusan itu lagi, beliau berkata bahawa jumlah pesakit yang menghidap penyakit jantung pada usia yang lebih muda juga semakin meningkat di mana trend itu amat membimbangkan yang mana pada 2018, lebih kurang 26 peratus daripada kematian pra-matang (kematian sebelum umur 70 tahun) disebabkan oleh penyakit kardiovaskular.

    “Kadar ini menunjukkan peningkatan jika dibandingkan dengan tahun 2013 yang mana kadar kematian pra-matang disebabkan penyakit kardiovaskular adalah 20 peratus,”

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham ketika membuat demonstrasi CPR sempena Sambutan Hari Jantung Sedunia, kelmarin. – Gambar oleh Rahwani Zahari
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menyertai acara senamrobik sebelum acara berlari, berjalan dan berbasikal bermula.
    Pelbagai aktiviti dan pameran yang diadakan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai masalah penyakit jantung.

    Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bersama-sama ribuan peserta mengesahkan lagi komitmen ke arah meningkatkan kesedaran mengenai penyakit jantung menerusi penyertaan dalam Acara Walk, Run & Cycle serta Karnival sempena Hari Jantung Sedunia yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan semasa Program Bandarku Ceria, hari ini.

    Acara yang dianjurkan bersama Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Gleneagles JPMC dihadiri dan disertai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham selaku tetamu kehormat majlis.

    Turut hadir semasa itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abd Latif; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Ketua Pegawai Eksekutif South East Asia Operations Division, Parkway Pantai Limited, Dr Chan Boon Kheng; Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC, Dr Peter Tay; ketua-ketua pegawai eksekutif, ketua-ketua jabatan, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan dari Kementerian Kesihatan dan Gleneagles JPMC.

    Acara dimulakan dengan sesi senamrobik beramai-ramai yang diketuai oleh Studio 96 dan diteruskan dengan pelepasan para peserta oleh Yang Berhormat Dato.

    Acara itu dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu Kategori Berjalan Kaki (Fun Walk) sejauh 1.5km dan 3km, Kategori Berbasikal (Fun Cycle) sejauh 10km dan Kategori Pertandingan Berlari bagi lelaki dan perempuan sejauh 11km.

    Penyampaian hadiah kepada kategori pertandingan berlari sejauh 11km disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham.

    Bagi kategori lelaki sejauh 11km, gelaran juara disandang oleh Younnes Ammouta diikuti oleh Awang Muhammad Haziq Syazwan di tempat kedua dan Lau Soon Hau di tempat ketiga.

    Sementara itu, muncul bagi kategori wanita ialah Joanna Hudson diikuti oleh Kathryn Dewerlein di tempat kedua dan Dayang Siti Fatimah binti Mohammad di tempat ketiga.

    Yang Berhormat Dato kemudian menyaksikan pameran-pameran kesihatan dan beberapa aktiviti yang dijalankan sempena Karnival Hari Jantung Sedunia, termasuklah pemeriksaan kesihatan, demonstrasi Cardiopulmonary Resuscitation (CPR), aktiviti permainan bagi kanak-kanak dan orang dewasa serta senamrobik secara berjadual.

    Tema Hari Jantung Sedunia 2019 ialah ‘Jantungku, Jantungmu’ yang menumpukan pada penjagaan kesihatan jantung sendiri dan kesihatan jantung orang-orang yang disayangi.

    Sambutan Hari Jantung Sedunia 2019 menyeru orang ramai untuk menjadi wira jantung dengan berjanji kepada keluarga untuk memasak dan makan makanan yang sihat dan seimbang.

    Orang ramai juga diseru berjanji kepada anak-anak untuk melakukan lebih aktif bersukan, mengatakan tidak pada rokok serta membantu orang tersayang untuk berhenti merokok.

    Selain itu, orang awam juga diseru agar bertindak sebagai pakar penjagaan kesihatan untuk membantu pesakit berhenti merokok atau mengurangkan tahap kolesterol, sebagai penggubal dasar untuk melaksanakan pelan tindakan penyakit tidak berjangkit (NCD) serta sebagai pekerja untuk mewujudkan tempat kerja yang sihat.

    Hari Jantung Sedunia yang disambut setiap 29 September merupakan salah sebuah platform bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai mengenai penyakit jantung dan pada masa yang sama mengingatkan orang ramai bahawa penyakit kardiovaskular dapat dicegah dengan mengambil langkah-langkah terhadap faktor-faktor risiko penyakit jantung.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda