MANCHESTER, 1 Mei – Jose Mourinho menggambarkan jadual padat Manchester United sebagai ‘tidak berperikemanusiaan’ selepas senarai kecederaan pasukan itu semakin bertambah, yang mengancam untuk memusnahkan harapan untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan.
Satu keputusan yang berakhir dengan seri 1-1 menentang Swansea merupakan keputusan seri kali keenam dalam lapan perlawanan di Old Trafford dan mengancam harapan mereka untuk mengakhiri musim di empat kelompok teratas.
Memburukkan lagi situasi United, Luke Shaw dan Eric Bailly juga mengalami kecederaan, menyebabkan Mourinho mengalami krisis kekurangan pemain menjelang separuh akhir pertama Liga Europa di Celta Vigo.
Pasangan itu menyertai dua pemain pertahanan Chris Smalling dan Phil Jones, yang sudah diketepikan sejak hujung bulan Mac, dalam senarai cedera dan ketiadaan mereka bermakna United akan berkunjung ke Sepanyol tanpa pemain pertahanan tengah sebenar.
“Saya tidak tahu mengenai kecederaan-kecederaan itu,” kata pengurus United, Mourinho.

“Saya fikir Luke Shaw pasti mengalami kecederaan teruk, kerana terpaksa meninggalkan padang selepas 10 minit, jadi saya fikir ia satu kecederaan serius,” tambah pengurus itu, yang sebelum ini secara terbuka mengkritik bek kiri itu beberapa kali musim ini.
“Saya lebih memilih untuk tidak bercakap mengenai Phil Jones dan Chris Smalling. Saya tidak fikir mereka akan bermain, itu adalah pandangan saya secara peribadi. Saya lebih suka bercakap mengenai Juan Mata yang memberikan segala-galanya untuk bermain. Saya bersyukur kerananya.”
Keputusan seri United itu telah menjadi rekod terbaru kelab, 25 perlawanan tanpa kalah dalam musim yang sama.
“Kami telah kehilangan pemain dan mata, jadi hari ini (semalam) adalah hari yang buruk,” kata Mourinho, yang mana pasukannya hanya satu kedudukan di luar slot Liga Juara-Juara, satu mata dan satu kedudukan di belakang Manchester City. – AFP