Fesyen pelakon dan penyanyi Ayda Jebat kebelakangan ini menjadi perhatian apabila sering tampil dengan imej bertudung ke beberapa majlis dan kempen hari raya. Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jabat, 27, bagaimanapun menafikan dirinya sudah berhijrah sebaliknya memberitahu selesa dengan penampilan dan hanya mengikut situasi semasa sahaja.
“Mana ada penampilan baharu… ia cuma penampilan mengikut situasi semasa. Doa-doakan untuk saya… mana tahu kan? Saya pakai tudung tidak kena-mengena dengan cabaran #Ramadan30 hari itu. Kalau ada event sepanjang Ramadan yang saya rasa nak pakai tudung, saya akan pakai. Rasa macam tak best juga kejap pakai tudung, kejap tak. Tapi tidak mengapalah, apa yang menuju ke arah kebaikan tu, tiada siapa patut persoalkan,” katanya kepada media.
Ayda ditemui pada majlis berbuka puasa Watsons bersama Ayda Jebat, selaku duta bagi rangkaian farmasi itu di Love@Matic, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ayda memberitahu dia sememangnya berniat untuk berubah dan menjadikan dirinya seseorang yang lebih lebih baik.
Malah, pelakon drama Asalkan Dia Bahagia ini mendedahkan sudah mula mengambil langkah awal menjaga adab berpakaian apabila lebih memilih untuk memakai sesuatu yang longgar.
“Saya nak diri saya menjadi yang lebih baik. Bagi saya semua orang kena ada niat untuk jadi lebih bagus. Mungkin kalau bukan dari segi hijab, dari segi attitude dan kerja.
“Apa-apa pun niat kena betul. Perasaan nak pakai tudung itu ada tetapi tidaklah terus nak pakai tudung. Cuma dari segi pemakaian, itu sudah diubah sedikit-sedikit. Bila pakai ketat sikit rasa macam tak selasa pula. Mungkin tuhan dah beri sikit-sikit. Sebab saya tak nak nanti dah pakai, kejap lagi nak buka pula,” katanya. – Agensi
