Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jaga adab, etika dalam media sosial

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Salah satu cabang ketinggian akhlak dan kemuliaan keperibadian seseorang dalam mengekalkan keharmonian hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara adalah dengan menjaga adab, etika dan tingkah laku dalam pergaulan antara satu sama yang lain.

    Ini termasuklah juga ketika berinteraksi dan berkomunikasi dalam media-media sosial, kata khatib dalam khutbah Jumaatnya hari ini yang bertajuk ‘Adab dan Etika Berinteraksi di Media Sosial’.

    Khatib menjelaskan, kecanggihan dunia teknologi masa kini tidak dapat disangkal lagi, malah bilangan orang yang celik IT semakin ramai dan bertambah jumlahnya.

    Selain itu penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi sudah menjadi lumrah dan menjadi trend kehidupan masyarakat pada masa ini.

    Menurut khatib lagi, tidak dapat disangkal pelbagai bentuk media digital berasaskan media sosial telah memberikan kemudahan dan manfaat luar biasa kepada masyarakat di mana segenap lapisan masyarakat menjadikan media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Instagram, Telegram dan seumpamanya sebagai medium informasi dan penghubung dalam kehidupan seharian.

    Manakala dalam sesi yang berbeza, tegas khatib, media sosial itu sekiranya disalah guna ia juga berperanan sebagai medium untuk menyebarluaskan perkara yang tidak baik seperti mengata atau untuk mengaibkan orang.

    Selain menjadi tempat perdebatan dan bertegang urat, ia juga penyebar luas masalah sosial bukan saja dalam kalangan remaja tapi juga kanak-kanak dan orang dewasa.

    Sesungguhnya, kata khatib, media sosial pada dasarnya untuk mempermudah sesuatu, tetapi sekiranya ia disalahgunakan ia akan membawa kepada sia-sia dan merugikan.

    Khatib dalam khutbahnya turut mengingatkan, ketika berinteraksi dan berkomunikasi di media sosial, perlu disedari kita telah mendedahkan diri kepada sebuah dunia yang terbuka luas dan tanpa sempadan.

    “Oleh yang demikian, sebagai umat Islam, hendaklah sentiasa menjaga akhlak, adab dan etika semasa berkomunikasi dan berinteraksi di media sosial,” tegas khatib.

    Beliau turut menyentuh mengenai beberapa hadis Rasulullah yang antaranya menyeru agar kata-kata yang ditulis itu sesuatu yang elok, baik dan betul dan menjaga tutur bicara dengan tidak menggunakan perkataan tidak baik seperti menghina, mengejek, mencela, kurang sopan dan segala bentuk perkataan buruk.

    “Rasulullah SAW turut menegah umatnya dari bersifat buruk sangka dan mencari-cari kesalahan orang lain dan ini kerana sifat tersebut akan membawa kepada perbuatan umpat dan fitnah,” jelasnya.

    Perlu diingat, katanya, mengumpat dan memfitnah itu adalah satu perbuatan yang tercela, dan termasuk dalam dosa-dosa besar, oleh itu, kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan menjaga diri daripada melakukan perbuatan yang boleh mengundang kata-kata umpatan dan fitnah.

    Ini kerana bahayanya bukan saja mendapat dosa besar tapi mengakibatkan tidak akan masuk syurga.

    Khatib menjelaskan, tabayyun iaitu mensabitkan dan menyemak asas kebenaran sesuatu perkara dan yang demikian setiap perkara dan informasi atau perkhabaran yang diperolehi itu hendaklah diselidik dan disiasat terlebih dahulu kebenaran dan kesahihannya sebelum menyebarkan dan menularkan kelaman-laman sosial dan aplikasi tertentu.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda