ADAB ialah tatacara atau sikap dalam melakukan satu amalan atau perbuatan. Adab juga bererti kehalusan atau budi pekerti yang diwujudkan dalam kesopanan. Adab meliputi segala bentuk amalan perbuatan seharian seseorang, ini juga termasuk dalam hal makan dan minum.
Makan dan minum setentunya mempunyai adab tersendiri, yang seharusnya dipenuhi. Sebagai seorang muslim, kita wajib mencontohi Rasulullah SAW dalam dalam apa jua keadaan, termasuklah dalam aspek makan dan minum.
Adab atau tatacara makan dan minum Rasulullah SAW
Sebagai Uswatun Hasanah (contoh teladan yang baik), setentunya Rasulullah SAW telah memberikan pelbagai contoh hal untuk kita, termasuklah dalam hal makan dan minum. Tatacara sebelum makan dan minum yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW adalah :
1. Mencuci kedua tangan sehingga bersih.
2. Berkumur atau mencuci mulut sebelum makan.
3. Membaca ‘basmalah’ dan doa sebelum makan, sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Nabi Muhammad SAW dari hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Aisyah RA, yang bermaksud:
“Apabila salah seorang di antara kalian makan, hendaklah menyebut nama Allah SWT . Dan apabila lupa menyebut nama Allah pada awalnya, hendaklah ia mengucapkan bismillahi awwalahu wa akhirahu”. (Hadis riwayat Abu Daud).


4. Menghafal doa lazim, dibaca sebelum makan ataupun minum, iaitu:
“Ya Allah, jadikanlah rezeki yang telah Engkau limpahkan kepada kami rezeki yang berkah, serta jauhkanlah kami dari siksa api neraka.”
Adab ketika makan dan minum
Diantara adab ataupun sikap dalam makan dan minum ialah :
1. Makan dan minum dalam keadaan duduk.
2. Pada ketika sedang makan, hendaklah tidak berkata-kata.
3. Makanlah dengan menggunakan tangan kanan.
4. Makan dengan tenang, tidak terburu-buru atau tergesa-gesa dan tidak bertaburan.
5. Tidak makan sambil berjalan.
6. Tidak makan terlalu banyak.
7. Ketika sedang makan dan minum, hendaklah tidak diselitkan perkara atau hal-hal yang buruk atau kotor.
8. Mengambil makanan atau hidangan yang dekat dan tidak meraih makanan di tempat yang jauh, sebagai petanda ‘qanaah’ (suatu sikap rela menerima dan selalu merasa cukup).
9. Jika sedang mengunjungi rumah seseorang dan dihidangkan makanan, hendaknya tidak mengambil atau menambah makanan lagi kecuali dipersilakan oleh tuan rumah atau diizinkan setelah minta izin.
10. Mengambil makanan hendaklah dimulakan dari pinggirnya dan tidak elok jika mengambilnya dari tengah.
11. Jika ada makanan yang tidak disukai, maka tidak boleh mencela makanan tersebut, malah memujinya.
Adab setelah makan dan minum
Setelah selesai makan atau minum, ia juga mempunyai adab-adabnya yang perlu diperhatikan, seperti:
1. Jika sudah selasai makan dan minum, maka hendaklah membaca doa seperti berikut:
“Segala puji bagi Allah yang telah memberi makan dan telah menjadikan kami sebagai orang Muslim.”
2. Membersih dan membasuh tangan.
3. Membersihkan peralatan makan yang telah digunakan.
Demikian beberapa adab yang perlu diperhatikan dalam makan dan minum. Semoga kita termasuk dalam golongan Muslim yang sentiasa memperhatikan adab dalam hal apapun, tidak terkecuali dari segi makan dan minum. – Agensi