Tuesday, January 21, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Jaga agama, selalu berbuat baik’

    SANDAKAN, 20 JAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain semasa hayatnya sering mengingatkan anak-anak agar sentiasa menjaga agama, terutamanya dalam menunaikan solat.

    Anak sulungnya, Nurhafizah Fatin Mohamad Hamsan, 32, berkata Allahyarham juga seorang yang sangat mementingkan pendidikan dan mahu melihat anak-anak berjaya dalam bidang diceburi.

    “Arwah juga sering mengingatkan kami untuk sentiasa bersedekah walaupun sedikit dan selalu berbuat baik kepada semua termasuk mudah memaafkan orang,” katanya kepada pemberita selepas selesai pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Bintang Baru, Rancangan Sungai Manila hari ini.

    Nurhafizah Fatin, mewakili keluarganya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu melancarkan urusan pengebumian Allahyarham, yang meninggal dunia di Kota Kinabalu sebelum dikebumikan.

    Sementara itu, ADUN Gum-Gum Arunarnsin Taib dari parti Warisan menyifatkan Allahyarham yang dikenalinya sejak lebih 20 tahun lepas, sebagai seorang abang meskipun mereka berbeza fahaman politik.

    “Allahyarham seorang yang disenangi ramai kerana sikapnya yang suka membantu ramai orang,” katanya yang turut mengiringi perjalanan akhir Allahyarham.

    ADUN Sungai Manila, Datuk Mokran Ingkat, turut merasakan kehilangan besar kerana Allahyarham banyak membantu masyarakat Sandakan, bahkan sebelum bergelar ADUN. – Bernama

    Jenazah Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain disolatkan di Masjid Pangiran Galpam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Bintang Baru Rancangan Sungai Manila. Kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda