Sunday, April 27, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jaga diri, keluarga semasa bercuti

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Sempena musim percutian ini, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dalam mengamalkan kebersihan diri dengan baik serta cara hidup sihat bagi memastikan percutian bersama orang tersayang dapat dinikmati dengan sempurna.

    Menurut kenyataannya hari ini, bagi yang menghabiskan masa percutian dalam negara, mereka disarankan menggunakan masa yang terluang untuk memastikan persekitaran rumah bersih bagi mengelakkan pembiakan nyamuk yang boleh menyebabkan penyakit seperti denggi dan lain-lain penyakit bawaan vektor, terutama semasa negara ini sedang melalui musim hujan.

    Selain itu, amalan kebersihan dan keselamatan makanan perlu diutamakan semasa menyediakan juadah bagi mengelakkan keracunan makanan, termasuk semasa berkelah dan berkumpul bersama sanak saudara.

    Bagi penyediaan makanan pula, orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan bahan mentah yang segar dan dimasak dengan sempurna dan memakan makanan dalam tempoh empat jam daripada masa penyediaannya.

    Selain itu, hendaklah mengamalkan pemakanan sihat dengan melebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan, memperbanyakkan meminum air kosong serta mengurangkan memakan makanan yang tinggi kandungan gula, lemak dan garam.

    Selepas makan, sentiasa amalkan mencuci tangan dengan betul bukan sahaja bagi mengelakkan keracunan makanan tetapi juga dapat mencegah penyakit berjangkit yang merebak melalui sentuhan dan cecair pernafasan.

    Semasa beriadah ke tempat-tempat rekreasi untuk meneruskan cara hidup aktif, orang ramai juga dinasihatkan untuk menjaga kebersihan alam sekitar untuk mengelakkan pembiakan vektor pembawa penyakit.

    Jika bercuti ke luar negara, pastikan makanan dan minuman yang diambil adalah bersih dan selamat. Elakkan makanan dan minuman yang berisiko tinggi seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang mentah dan dikupas, daging dan makanan laut mentah atau kurang masak, produk tenusu yang tidak di ‘pasteurised’, makanan yang dijual oleh penjaja di tepi jalan, makanan dan minuman yang menggunakan kiub ais, dan jus yang dicampurkan dengan air yang tidak dimasak.

    Sebelum melakukan perjalanan, pastikan suntikan vaksinasi dikemas kini atau periksa dengan doktor mengenai sebarang vaksinasi yang perlu diambil dan ambil langkah berjaga-jaga khususnya daripada gigitan vektor pembawa penyakit semasa berada di luar negara.

    Jika mengambil ubat yang ditetapkan, pastikan membawa preskripsi ubat dan surat doktor serta simpan ubat yang perlu dalam beg tangan.

    Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya juga menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan dan membeli insurans perubatan atau insurans pelancongan yang bersesuaian daripada pihak-pihak pembekal insurans tempatan yang diiktiraf sebelum melancong keluar negara bagi tujuan perlindungan semasa berada di luar negara.

    Bagi maklumat lanjut, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Darussalam 123.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda