MENJADI ibu tiri bukanlah suatu perkara yang mudah. Banyak perkara perlu diambil perhatian agar kebahagiaan dapat dikecapi. Salah satunya adalah dalam hal menjaga perasaan anak sendiri dan anak tiri.
Lazimnya, perasaan anak kandung dan anak tiri akan timbul rasa cemburu, iri hati, dengki dan pelbagai lagi perasaan yang negatif. Oleh itu, cuba lakukan berberapa tip ini agar anda dapat menjaga perasaan keduanya dengan lebih efisien.
Adil
Sewajarnya sebagai ibu tiri, jangan memberi layanan yang berbeza antara anak sendiri dengan anak tiri. Jika salah seorang diperlakukan tidak adil, bimbang akan terbit rasa dendam dan benci di dalam dirinya.
Berikan kasih sayang
Laksanakan tugas seorang ibu untuk memberi kasih sayang, menjaga dan melindungi anak dengan setulus hati. Keikhlasan yang diberikan pastinya membuatkan anak kandung mahu pun anak tiri berasa amat dihargai dan disayangi oleh ibunya.
Latih anak
Sebaiknya latih anak tiri dan anak kandung agar tahu menjaga hati dan perasaan orang lain. Cara ini, akan dapat membantu agar mereka faham untuk sama-sama menjaga hati antara satu sama lain.
