Jaga hubungan silaturahim

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Julai – Hubungan silaturahim sesama manusia perlu dieratkan kerana hukumnya wajib, manakala umat Islam yang memutuskan silaturahim dianggap berdosa dan melakukan maksiat serta diharamkan syurga baginya.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan mengenai pentingnya hubungan silaturahim, menambah terdapat beberapa sebab hubungan silaturahim terputus iaitu pertengkaran atau perselisihan faham kerana harta benda, harta pusaka, hutang piutang, hasutan, fitnah, sikap sombong dan mementingkan diri sendiri.

Silaturahim juga boleh putus kerana perkelahian anak-beranak, adik-beradik atau jiran tetangga di mana kedua-dua belah pihak salah-menyalahkan antara satu sama lain.

“Ini lebih-lebih lagi jika kedua-duanya tidak mempunyai kesabaran, tidak bersikap terbuka dan tidak mahu bertolak ansur serta tidak mahu mengalah untuk memohon kemaafaan,” tekannya.

Khatib menambah, Islam adalah agama yang sempurna, ia bukan saja menyuruh umatnya untuk beribadat seperti sembahyang, puasa dan menunaikan haji tetapi Islam juga menyuruh umatnya untuk menjaga kesejahteraan hidup, bekerjasama dan bantu-membantu antara satu dengan yang lain.

Ke arah mencapai tujuan tersebut, jelasnya, Islam mengajar umatnya untuk menjaga hubungan silaturahim sesama manusia yang antaranya berbuat baik kepada sesama manusia, memberi pertolongan jika mereka memerlukan, bersikap lemah lembut, nasihat-menasihati dan menjaga perasan mereka.

“Mengeratkan hubungan silaturahim perlu diutamakan kepada kaum kerabat atau pun yang ada hubungan kekeluargaan,” tambahnya.

Khatib juga mengingatkan, tanggungjawab untuk membina semula hubungan yang terputus bukan terletak kepada pihak yang bermusuhan saja tetapi juga sanak saudara atau kawan-kawan juga memainkan peranan penting selaku orang tengah dalam mendamaikan dan menyambung semua hubungan yang terputus itu.

“Selain itu, ada pertelingkahan di antara keluarga mengenai pembahagian harta yang tidak dapat diselesaikan, eloklah meminta nasihat dan pandangan daripada pihak yang bertanggungjawab,” jelasnya.

Adalah menjadi kewajipan untuk menjaga hubungan silaturahim sebaik-baiknya dan janganlah disebabkan masalah kecil dan remeh temeh, hubungan menjadi renggang atau retak.

“Kerenggangan ini boleh menimbulkan ketegangan yang menyebabkan mereka bermasam muka, saling benci-membenci dan akhirnya boleh memporak-perandakan hubungan tersebut dalam berkeluarga dan bermasyarakat,” tegasnya.

Dalam usaha ini, khatib menyeru untuk sama-sama berusaha dalam menjaga dan mengeratkan lagi hubungan tersebut dan jika berlaku perselisihan, berusahalah untuk mencari jalan penyelesaian dan perdamaian kerana semua mukmin itu adalah bersaudara.

“Hubungkanlah silaturahim dan jauhilah daripada perkara yang boleh memutuskannya dan jika terdapat masalah, tanganilah dengan perasaan rasional dan eratkanlah semula perhubungan itu dengan rasa kesedaran serta keinsafan,” nasihatnya.