Friday, May 9, 2025
31.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jaga hubungan ukhuwah sebaiknya

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Silaturahim adalah jalinan atau ikatan hubungan yang dibina bersama keluarga, kaum kerabat, jiran tetangga dan sahabat handai.

    Adapun mengeratkan hubungan silaturahim itu adalah dengan berbuat baik sesama manusia, memberi pertolongan jika mereka memerlukan, bersikap lemah lembut, nasihat-menasihati dan menjaga perasaan mereka.

    Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini seterusnya menambah, Baginda Rasulullah SAW menyatakan bahawa orang yang memutuskan hubungan silaturahim itu tidak akan masuk syurga.

    “Kesempurnaan dan kemantapkan iman seseorang bukan hanya sentiasa beriman dengan Rukun Iman yang enam saja tapi menghubungkan silaturahim juga antara cabang iman,” jelasnya.

    Khatib turut menegaskan yang mana agama Islam menganjurkan umatnya untuk sentiasa menjaga hubungan silaturahim.

    “Imam Syafie Rahimahullah berkata, barangsiapa yang menjalin ukhwah persaudaraan dan menghidupkan silaturahim, ia akan memperolehi 10 keutamaan.”

    Dalam khutbah Jumaat itu, khatib menjelaskan ia adalah perkara pertama mendapat keredaan Allah kerana Allah dan penduduk di langit amat suka kepada orang yang suka menghubungkan ukhwah persaudaraan.

    Kedua, mengembirakan malaikat di langit, di mana mereka amat suka kepada mereka yang menghubungkan ukhwah persaudaraan dan ketiga dapat menambahkan pahala amal setelah ia meninggal dunia kelak.

    Manakala keempat, ia dapat menambah dan menimbulkan rasa kasih sayang dalam pergaulan seharian; kelima pula dapat menambah dan menimbulkan keberkatan kepada rezeki; keenam, Allah melanjutkan usianya dan ketujuh, menjadikan iblis dan syaitan bertambah gelisah dan sakit hati.

    Kelapan pula, jelas khatib, disegani dan dihormati oleh masyarakat yang berada di sekeliling; kesembilan, ia dapat mengembirakan orang yang berada dalam barzakh dan terakhir adalah dapat menzahirkan kegembiraan pada kedua belah pihak kerana tiada amal yang lebih baik melainkan mengembirakan hati orang yang beriman.

    Dalam membina dan menjaga hubungan silaturahim, ada beberapa cara yang boleh dilakukan antaranya seperti sering memberi dan menjawab salam atau bertegur sapa dan sering menghadiri undangan atau jemputan.

    Menghulurkan bantuan atau pertolongan sama ada dalam bentuk tenaga atau wang ringgit, kunjung-mengunjungi antara satu dengan lain, menziarahi semasa ia sakit dan menghadiri pengembumian jenazah.

    Pada masa kini, penggunaan media baharu seperti Facebook, WhatsApp, Telegram dan lain-lain adalah sangat digemari dan menjadi kemudahan untuk berhubung dan berkomunikasi.

    Penggunaan kemudahan ini, tegas khatib, boleh dimanfaatkan oleh semua dengan sebaik-baiknya terutama dalam mengeratkan hubungan silaturahim dan dengan ini, hubungan yang jauh semakin dekat dan yang rengang menjadi rapat.

    “Kita ada membaca dan melihat di media baharu dan media massa di mana terdapat keluarga yang hidup susah dan serba kekurangan sedangkan, mereka masih mempunyai kaum keluarga yang berkemampuan untuk menjaga dan membantu mereka.

    “Di sinilah peranan untuk mempererat dan memperkukuh hubungan silaturahim dengan membantu mereka sama ada kelurga, jiran tetangga atau sahabat yang memerlukan,” jelasnya.

    Hubungan silaturahim itu terputus berpunca daripada beberapa sebab antaranya tidak puas hati, sifat dendam, sombong, mementingkan diri sendiri, hutang piutang, hasutan, fitnah, hasad dengki, iri hati dan lainnya.

    Khatib seterusnya menjelaskan, antara yang sering menjadi sebab hubungan silaturahim itu menjadi renggang ialah pertengkaran atau perselisihan disebabkan harta.

    Khatib dalam khutbahnya seterusnya mengingatkan, harta itu adalah perhiasan dunia dan adalah lebih baik jika menumpukan perhatian kepada kebahagian akhirat yang kekal abadi sebagai jalan untuk mendekatkan diri dan mendapat keredaan Allah.

    Hubungan silaturahim itu juga boleh terputus oleh perkelahian antara sanak saudara, adik-beradik, anak-beranak, jiran tetangga, jelas khatib di mana kedua-dua pihak saling menyalahkan satu dengan lain.

    Ini lebih-lebih lagi jika kedua-duanya tidak mempunyai kesabaran, tidak bersikap terbuka dan tidak mahu bertolak ansur serta tidak mahu mengalah untuk memohon kemaafan hingga ada yang sanggup melakukan perbuatan syirik, keji dan terkutuk seperti sihir untuk menyakiti orang yang dibencinya.

    Khatib seterusnya mengingatkan untuk sama-sama bertanggungjawab untuk membina semula hubungan silaturahim yang terputus itu bukan hanya terletak kepada pihak yang bermusuhan sahaja tapi kaum keluarga, sanak saudara atau kawan-kawan juga memainkan peranan penting selaku orang tengah dalam mendamaikan dan menyambungkan silaturahim itu.

    Selain itu, jika ada pertelingkahan yang sangat berat antara keluarga, eloklah meminta nasihat atau pandangan daripada ahlinya dan pihak yang bertanggungjawab dan jangan disebabkan masalah kecil dan remeh, hubungan keluarga menjadi renggang atau retak.

    Hubungan ini, boleh menimbulkan ketegangan yang menyebabkan bermasam muka, saling bermusuhan, benci-membenci dan akhirnya boleh menyebabkan berlakunya perkara yang tidak diingini dan boleh menghancurkan hidup berkeluarga dan bermasyarakat.

    Oleh itu sentiasalah berbuat baik kepada sesiapa saja tanpa mengira bangsa atau agama, bergaul dengan akhlak yang mulia lagi terpuji, bersabarlah terhadap perbuatan yang menyakitkan atau ujian yang menimpa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda