KUALA LUMPUR, 27 JUN – Individu bakal menerajui Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) diharap tidak mengabaikan kebajikan persatuan dan atlet para di samping meneruskan program pembangunan badan induk itu.
Presiden Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia (WTM), Muhd Iqbal Sulaiman berkata MPM memerlukan seorang presiden yang mampu menguruskan 24 persatuan para dengan baik.
“Kita perlukan presiden yang layak memimpin serta berpengalaman, dan boleh bawa MPM pergi lebih jauh ke hadapan. Persatuan akan memainkan peranan memilih presiden yang mereka rasa layak kerana untuk menguruskan 24 persatuan sukan para bukan sesuatu yang mudah,” katanya.
Muhd Iqbal yang juga calon bagi jawatan naib presiden MPM, ditemui pemberita selepas sesi saringan jurulatih skuad tenis berkerusi roda di Stadium Tenis Nasional, di sini, hari ini. – Bernama