Oleh Sim Y.H.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Pucuk pimpinan diseru untuk sentiasa bersikap jujur, berintegriti, tidak menyalahgunakan kuasa, tidak mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan organisasi serta menjaga dengan sempurna kebajikan pegawai dan kakitangan bawahan.
Mereka juga diseru untuk tidak mengamalkan kronisme dan nepotisme dalam pentadbiran dan pengurusan organisasi mereka.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan seruan tersebut semasa berkenan mengurniakan titah ketika berangkat ke Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (HMSF), Rimba, hari ini.
“Keunggulan, keutuhan, keupayaan dan kemajuan sesebuah organisasi itu, sangat bergantung kepada bagaimana ianya ditadbir dan diurus.
“Oleh itu, pucuk pimpinan yang dipilih untuk menerajui Pejabat Penerbangan harus sedar dengan amanah ini untuk dapat mengemudinya ke tahap yang paling cemerlang.
“Namun kecemerlangan itu pula, hanya akan tercapai jika pucuk pimpinan bersikap jujur dan berintegriti, tidak menyalahgunakan kuasa, tidak mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan organisasi dan menjaga dengan sempurna kebajikan pegawai dan kakitangan bawahan.
“Amalan-amalan kronisme dan nepotisme, tidak boleh bertapak sama sekali dalam pentadbiran dan pengurusan Pejabat Penerbangan ataupun di mana-mana organisasi lain. Beta tidak akan jemu-jemu untuk memberikan peringatan, teguran dan jika ianya berlaku, maka Beta tidak akan bertolak ansur mengenainya,” titah Baginda lagi.
Baginda turut mengingatkan, pucuk pimpinan akan gagal melaksanakan tugas jika tiada ketelusan, keadilan dan kebijaksanaan di mana lebih memburukkan keadaan ialah jika ia ditambah dengan sikap pilih kasih, tidak bertimbang rasa dan suka mencari kelemahan atau kesalahan orang lain.
“Ini akan menjadi punca kepada tekanan terutama di kalangan warga kerja di peringkat bawahan.
“Oleh itu, lawatan Beta ini memberi peluang kepada Beta untuk secara lebih dekat mengetahui kemaslahatan warga kerja di Pejabat Penerbangan ini dan Beta mahu amalan-amalan yang tidak berintegriti yang berlaku di pejabat ini, untuk ditangani dengan tegas dan segera.”
Isu perbelanjaan turut menarik perhatian Baginda dan mahu Pejabat Penerbangan berkenaan benar-benar telus, amanah dan berhati-hati dalam menggunakan peruntukan yang telah disediakan.
“Setiap penggunaan peruntukan hendaklah mengikut proses dan prosedur-prosedur yang telah ditetapkan bagi menggelakkan sebarang penyelewengan.
“Perbelanjaan yang banyak tidak semestinya mampu untuk menjamin tahap kecemerlangan yang diingini.
“Amalan berhemah tanpa menjejaskan kualiti, kebijaksanaan dalam mengambil keputusan atau tindakan dan kecekapan dalam mengoperasi penerbangan dan pengurusan aset perlu diberi perhatian sewajarnya,” tekan Baginda.
Menyentuh tentang pengurusan dan penggunaan aset, Baginda Sultan bertitah terdapat bangunan di bawah kawalan pejabat berkenaan, yang terbiar begitu sahaja dan tidak diguna pakai.
“Jika ianya tidak digunakan, bukankah bersesuaian jika ia dijadikan sebagai tempat rehat warga kerja, sebaliknya warga kerja menggunakan kontena-kontena sebagai tempat rehat.
“Apakah ini tindakan baik dalam menjaga kebajikan warga kerja?” soal Baginda.
Selain pucuk pimpinan, Baginda menekankan warga kerja juga memainkan peranan yang penting dan oleh itu, kebajikan mereka perlu dijaga dengan sempurna mungkin dengan perkembangan kerjaya dan pembangunan kapasiti mereka perlu diberikan perhatian.
“Ini akan dapat memastikan continuity dan warga kerja yang berkemahiran.
“Oleh itu, Beta ingin mengetahui sama ada Pejabat Penerbangan ini mempunyai succession planning dan competency framework khususnya bagi peringkat bawahan.”
Baginda turut menyeru supaya pucuk pimpinan juga harus peka dengan masalah-masalah dan keluhan-keluhan warga kerja serta menanganinya dengan bijaksana.
“Apakah pucuk pimpinan tahu terdapat segelintir warga kerja yang ingin memohon untuk berhenti atau berpindah dari Pejabat Penerbangan ini. Apakah puncanya dan apakah tindakan yang akan diambil oleh pucuk pimpinan untuk menanganinya?.
“Dalam kesempatan ini, Beta ingin mendengar sendiri daripada semua peringkat warga kerja pejabat ini mengenai isu-isu perlu ditangani bagi meningkatkan lagi keberkesanan pejabat ini,” tegas Baginda.
Terdahulu, Baginda bertitah menyatakan Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berperanan besar untuk memastikan tahap keselamatan dan keselesaan tertinggi dalam setiap penerbangan Baginda dan kerabat Baginda.
“Pejabat ini juga dipertanggungjawabkan untuk memelihara dan menyelenggarakan semua aset supaya sentiasa berada pada tahap selamat dan optimum.
“Dalam kesempatan ini, Beta terlebih dahulu sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat warga kerja penerbangan ini di atas usaha ikhlas yang telah disumbangkan selama ini dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
“Beta berharap semua warga kerja akan terus berusaha sedaya-upaya untuk meningkatkan keupayaan dalam segenap segi dan kekal komited demi menjamin keselamatan penerbangan.
“Beta percaya semua memahami keselamatan penerbangan bererti keselamatan penumpang. Beta telah memberikan kepercayaan yang tinggi dan tanggungjawab besar kepada Penerbangan Diraja untuk menjamin keselamatan Beta berserta kerabat diraja.
“Oleh itu, Beta ingin mengingatkan kepada seluruh warga pejabat ini, untuk tidak sambil lewa dalam menjalankan amanah dan tidak sekali-kali menyalahgunakan kepercayaan yang telah Beta berikan selama ini.”


