Jaga kebersihan dan kualiti jualan

Meskipun bazar Ramadan ditiadakan pada tahun ini, pelbagai promosi juadah berbuka diiklankan melalui media sosial sehinggakan sukar untuk membuat pilihan. Justeru harapan kita untuk dapat makan juadah berkenaan ketika berbuka adalah sangat tinggi.

Namun harapan hanya tinggal harapan, juadah yang dibeli tidak boleh dimakan kerana sudah basi. Bagaimana boleh basi? Sedangkan juadah yang dibeli secara dalam talian, setentunya ia dibuat di rumah dan tidak terdedah dengan cahaya matahari seperti dijual di gerai-gerai jualan.

Besar kemungkinan jualan itu terlalu awal dibuat kerana terlalu banyak tempahan daripada pelanggan. Begitulah sesetengah peniaga kita terlalu tamak untuk menerima tempahan sehingga mengetepikan menyampaikan hajat pelanggan demi mendapat keuntungan.

Malah ada sesetengah peniaga juga sanggup menjual makanan berulang kali yang tidak habis terjual kelmarin.

Apabila ditegur bukan pula menerima teguran, malah sebaliknya mereka marah dan menyalahkan kita sengaja menjatuhkan perniagaan mereka. Bersikap jujur dan jagalah kebersihan serta kualiti jualan, janganlah hanya mementingkan keuntungan sahaja tapi ingatlah harapan pembeli untuk menjadikannya juadah berbuka puasa.

Di samping mementingkan kebersihan ketika membuat makanan tersebut, simpanlah pada pembungkusan yang bersesuaian dan elakkan menggunakan stapler dan kotak pembungkus makanan jenis styrafoam kerana ia tidak baik untuk kesihatan.

Pembeli

Juadah yang tidak dapat dimakan kerana sudah basi yang baru-baru ini dibeli daripada penjual online. – Gambar kiriman penulis