Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Dengan hasrat untuk menjaga kebersihan di tempat riadah yang ada negara ini serta untuk memperkenalkan tempat beriadah baharu, Kumpulan Kedayan Hikers telah mengadakan aktiviti riadah mendaki bukit dan kempen kebersihan di wasai-wasai yang terdapat di Bukit Sum-Sum dan Bukit Silat.
Kempen kebersihan tersebut diketuai oleh Pemangku Ketua Kampung Jerudong B, Awang Kamis bin Panjang dan disertai oleh lebih 20 orang ahli kumpulan berkenaan. Sebelum acara pendakian dimulakan, bacaan doa telah dipimpin oleh Awang Johari bin Musa.
Semasa aktiviti pendakian, rombo- ngan telah dibawa oleh ketua rombongan melalui trek yang melintasi beberapa buah wasai di sepanjang jalan termasuk Wasai Titian Akar, Wasai Marak Berapi, Wasai Buang Tengkurok dan Wasai Kanajong.
Aktiviti kempen kebersihan dimulakan di Wasai Kanajong dan seterusnya dilaratkan ke wasai-wasai lain dan persekitaran menuju jalan keluar.
Selain daripada itu, kumpulan tersebut turut menyatakan hasrat untuk terus mengadakan kegiatan di tempat-tempat yang jarang didengar oleh orang ramai dan untuk mengetengahkan lagi tempat-tempat menarik bagi mengadakan kegiatan riadah seperti aktiviti mendaki bukit.


