Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Agama Islam adalah agama syumul yang merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk soal menjaga kebersihan yang merupakan sesuatu yang amat disukai Allah SWT dan rasulNya sama ada menjaga kebersihan rohani mahupun jasmani.
Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini menyentuh mengenai pentingnya menjaga kebersihan dan seterusnya menekankan bahawa kedua-dua perkara ini tidak boleh dipisahkan kerana kebersihan melambangkan keteguhan iman seseorang kepada Allah SWT.
“Sesungguhnya agama kita menganjurkan umatnya agar sentiasa mengamalkan kebersihan dalam semua perkara yang melibatkan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara kerana kebersihan boleh mendatangkan suasana yang tenang, kesihatan yang terjamin dan kesejahteraan kepada semua,” jelasnya.
Menurut khatib lagi, agama Islam sangat mengambil berat tentang penjagaan kebersihan rohani, lebih-lebih lagi kebersihan hati iaitu dengan menjauhkan diri daripada sifat-sifat mazmumah seperti marah, hasad dengki, kedekut, banyak makan, banyak cakap, kemegahan, mencintai dunia, ujub, takabbur, riak dan sebagainya.
Perkara-perkara tersebut tidak dapat dihindarkan sekiranya tiada usaha untuk menyucikan hati nurani kerana dari sanalah datangnya segala penyakit zahir dan batin. Khatib menambah, menjaga kebersihan hendaklah dijadikan budaya kehidupan sama ada kebersihan diri sendiri, tempat tinggal, masjid, tempat-tempat awam dan tempat makan.
Khatib turut menyeru umat Islam untuk sentiasa peka dan bertanggungjawab dengan menjadikan tempat-tempat ibadat dalam keadaan bersih di samping menjaga kebersihan apabila menggunakan kemudahan awam yang disediakan kerajaan.
Selain itu, khatib menjelaskan tempat-tempat peranginan, riadah, saliran, sungai dan lain-lain perlulah dijaga agar sentiasa dalam keadaan baik, bersih dan tidak dirosakkan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab.
“Perlu disedari bahawa pengabaian kebersihan boleh menyebabkan tersebarnya pelbagai penyakit seperti denggi, kolera, cirit-birit, keracunan makanan dan sebagainya, malah akan mengakibatkan suasana alam sekitar tidak sihat dan udara yang tidak segar,” ujar khatib.
Menurut khatib lagi, budaya amalan hidup bersih ini bermula dari rumah dan ibu bapa diseru untuk membimbing dan mengajar ahli keluarga tentang aspek kebersihan agar menjadi sebuah keluarga yang mementingkan kebersihan dan menjadi masyarakat yang mengutamakan kebersihan.
Antara perkara yang perlu diamalkan dan dihayati adalah seperti mengamalkan dan meningkatkan kesedaran kepada diri sendiri terhadap kebersihan diri, tempat tinggal, tempat beribadat, tempat kerja dan seluruh tempat awam.
Setiap individu hendaklah mendisiplinkan diri dalam memikul tanggungjawab menjaga kebersihan dan hendaklah memiliki sikap suka terhadap kebersihan.
Khatib seterusnya menekankan agar budaya tegur-menegur dan nasihat-menasihati sesama sendiri diamalkan dalam hal menjaga kebersihan dan tidak mengamalkan sikap camah mata sekiranya ternampak kekotoran.
“Menggunakan kemudahan yang disediakan dengan sebaik mungkin seperti tong sampah, tong kitar semula dan tempat pembuangan sampah awam tanpa membiarkan sampah-sarap dan kekotoran bertaburan merata-rata,” jelas khatib lagi.
Amalan bergotong-royong merupakan satu amalan terpuji yang menjadi kebanggaan masyarakat sejak dahulu lagi akan tetapi amalan tersebut semakin berkurangan di zaman ini disebabkan kesibukan bekerja, keluarga dan sebagainya, tambahnya.