Wednesday, January 8, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jaga keharmonian sesama pemancing

    Oleh Raz AS –

    Sebagai salah satu aktiviti riadah yang semakin mendapat perhatian dan menambat hati orang ramai, jumlah individu yang menceburkan diri dalam aktiviti memancing semakin meningkat bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

    Saban hari tidak kira siang atau malam, kawasan-kawasan seperti dermaga, pantai, jeti, jambatan dan tebing-tebing sungai di negara ini akan kelihatan kelibat pemancing sabar menunggu ikan memakan umpan.

    Sementara waktu-waktu hujung minggu atau hari-hari cuti dan kelepasan awam, kawasan-kawasan tersebut akan sibuk menerima kunjungan insan-insan yang bergelar pemancing, tidak kiralah daripada kalangan pemancing tegar atau mereka yang sekadar memancing suka-suka selagi mana mereka dapat meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan.

    Dengan kehadiran ramai pemancing baharu yang dahagakan ilmu dan tunjuk ajar, pemancing-pemancing yang lebih otai janganlah pula kedekut ilmu, kerana mengajar ilmu yang bermanfaat dapat menjadi amal jariah kita selagi ia terus diamalkan oleh orang yang kita ajarkan.

    Meskipun begitu, dalam keghairahan memberikan tunjuk ajar dan menurunkan ilmu, janganlah lupa juga untuk memberikan kata-kata nasihat serta mengajarkan amalan-amalan terbaik dan mindset betul yang perlu diamalkan oleh semua pemancing demi menjaga keharmonian sesama peminat hobi memancing ini.

    Amalan-amalan terbaik dan mindset betul perlu diamalkan oleh semua pemancing demi menjaga keharmonian sesama pemancing. – GAMBAR VISITCHESAPEAKE

    Antara amalan terbaik dan mindset betul yang perlu ada dalam setiap pemancing adalah seperti:

    1. SOPAN SANTUN, BERTIMBANG RASA DAN TOLONG-MENOLONG

    Sikap bersopan-santun, bertimbang rasa dan tolong-menolong sesama sendiri perlu ada dalam diri setiap pemancing. Mulut yang ringan untuk bertegur sapa dan meminta izin terlebih dahulu jika hendak memancing berdekatan dengan pemancing lain, boleh menghindarkan situasi bermasam muka apabila pancing yang dilontar berpulut dengan pancing orang lain.

    Juga penting untuk mengelakkan diri daripada berbuat bising sehingga mengganggu ketenteraman pemancing lain, tambahan lagi adanya kemungkinan ikan-ikan yang berdekatan akan lari akibat bunyi bising tersebut.

    Selain itu, amalan ringan tangan untuk menghulurkan bantuan kepada pemancing lain yang memerlukan pertolongan bukan sahaja penting untuk mengeratkan ikatan silaturahim, malah satu hari nanti apabila kita yang memerlukan bantuan orang lain, mereka tidak akan sekadar camah mata.

    2. JANGAN MEMUGUT

    Sifat vandalisme atau sifat pemugut merupakan sifat yang tercela. Sering kali kedengaran rungutan daripada pemilik-pemilik pondok memancing yang pondoknya telah dirosakkan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab, sehingga mereka melarang orang lain daripada menggunakannya.

    Elakkan daripada melakukan kerosakan pada harta benda di sekeliling kita tidak kiralah ia milik kerajaan atau orang lain. Ini bukan sahaja akan menyebabkan kerugian kepada kerajaan atau si pemilik, malah juga kesusahan kepada pengguna lain. Gunakan kemudahan yang tersedia sebaiknya, bersyukurlah kita sama-sama mendapat faedah tanpa perlu memerah keringat dan wang ringgit.

    3. JANGAN BERJURIT

    Jangan berjurit, buang sampah seperti bekas minuman dan makanan di tempat yang sepatutnya. Jangan sesekali membiarkan mata kail bersepahan kerana ia boleh menyebabkan kecederaan kepada orang lain mahupun haiwan.

    Lebihan umpan jangan dibiarkan bersepah dan lepaskan kembali ikan-ikan yang tidak akan dibawa balik, jangan ditinggalkan mati kering begitu sahaja kerana ia boleh menyebabkan bau-bauan busuk yang tidak menyenangkan.

    Jadilah pemancing yang bertanggungjawab, jagalah kebersihan alam sekitar dan ekosistem. Sekiranya sifat pengotor yang suka membuang sampah merata-rata tidak dibendung, tempat-tempat memancing akan menjadi kurang selesa untuk dikunjungi.

    Sampah-sampah yang berselerak boleh mengundang kehadiran haiwan dan serangga pembawa penyakit yang berbahaya.

    Tidak mustahil juga satu hari nanti tempat tersebut akan menjadi tempat larangan memancing oleh pemilik tanah atau pihak berkuasa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda