Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Jemaah haji dinasihatkan agar tidak terdedah terlalu lama kepada cuaca panas semasa berada di tanah suci kerana pada ketika ini merupakan musim panas di Arab Saudi dan suhu cuaca di sana boleh mencapai 50 darjah Celsius.
Nasihat itu disampaikan oleh Pengarah Urusan Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB), Haji Mahmud bin Haji Mohamed dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Taklimat Pengurusan dan Penghayatan Ibadah Haji bagi Bakal Jemaah Haji Pakej Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB) bagi Musim Haji 2023 anjuran Syarikat Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB) selaku syarikat pengendali pakej haji utama di negara ini, hari ini.
Beliau turut menekankan, oleh kerana ganjarannya yang bukan alang kepalang besarnya iaitu syurga, maka ibadah berkenaan memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan material yang bukan sedikit.
“Cabaran, rintangan dan dugaan itu pula akan datang dalam pelbagai bentuk dan boleh terjadi pada bila-bila masa, dengan itu, perlunya mempunyai utap atau perisai dalam bentuk kesabaran yang amat tinggi dan ketabahan yang mendalam serta sentiasa bertawakal kepada Allah SWT demi memperoleh haji yang mabrur yang ganjarannya adalah syurga dan maghfirat daripada Allah SWT.
Majlis yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas itu diserikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Penghayatan Ibadah Haji’ yang telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.
Beliau antara lain menyentuh mengenai beberapa persiapan menjadi tetamu Allah selain mengongsikan ilmu untuk persiapan bakal jemaah haji sebelum berlepas ke tanah suci nanti.
Manakala itu, sesi taklimat pengurusan haji yang telah disampaikan oleh Penolong Pengurus Am, Jabatan Haji dan Umrah DSSB, Pengiran Haji Ibarahim bin Pengiran Haji Bakar antara lain menjelaskan mengenai beberapa maklumat penting termasuk persiapan sebelum keberangkatan, aktiviti dan perkhidmatan yang akan diberikan sepanjang berada di tanah suci nanti.
Bakal jemaah haji juga berpeluang menyaksikan tayangan video pengurusan haji DSSB di tanah suci. Majlis diakhiri dengan sesi soal jawab dan bacaan Doa Selamat.
Bagi musim haji 2023, daripada jumlah 1,000 kuota yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi, seramai 746 bakal jemaah akan mengikuti pakej DSSB dalam tiga pakej iaitu Pakej Delima (Premium), Pakej Safira (Seder-hana) dan Pakej Zamrud (Ekonomi).
Empat penerbangan haji telah diaturkan akan membawa para bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam yang akan mula berlepas pada 4 Jun bagi penerbangan pertama, seterusnya 5 Jun bagi penerbangan kedua, 6 Jun bagi penerbangan ketiga dan 7 Jun bagi penerbangan keempat.
Bagi memastikan persiapan pengurusan teratur dan berjalan lancar sebelum ketibaan jemaah haji, empat orang pegawai DSSB diketuai oleh Haji Mahmud, akan bertolak ke Arab Saudi pada 23 Mei ini.