Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Kementerian Kesihatan telah mengadakan Majlis Pelancaran Program Saringan Mata Kebangsaan Menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) sempena Hari Penglihatan Sedunia 2024 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat dan melancarkan program berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai serta kakitangan di Kementerian Kesihatan.
Pada majlis itu, Konsultan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Dr Hajah Helena binti POKSJ DP Haji Hurairah selaku pengerusi bersama majlis telah menyampaikan ucapan yang menekankan pada tahun 2023, sebanyak 207 kanak-kanak telah dirujuk dari Perkhidmatan Kesihatan Sekolah ke Perkhidmatan Mata Hospital RIPAS.
“Daripada jumlah tersebut, 125 kanak-kanak atau 60 peratus telah disahkan mengalami miopia atau rabun jauh.
“Keadaan ini sangat membimbangkan kerana miopia bukan sahaja menjejaskan penglihatan, tetapi juga boleh membawa kepada masalah mata yang lebih serius pada masa hadapan seperti katarak awal, risiko glaukoma yang lebih tinggi dan masalah retina,” tekannya.
Menurutnya, Pusat MATA juga menyaksikan peningkatan ketara dalam kes miopia dalam kalangan kanak-kanak sejak pandemik COVID-19.
“Ini mungkin disebabkan oleh penggunaan skrin yang berlebihan untuk pembelajaran secara dalam talian dan kurangnya aktiviti di luar rumah,” jelasnya.
Dalam perkara itu, beliau menyeru ibu bapa, guru dan masyarakat untuk memainkan peranan penting dalam melindungi mata anak-anak kita.
Dr Hajah Helena turut mengongsikan beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk melindungi mata dengan mengehadkan masa skrin, tingkatkan masa di luar rumah, di samping menjaga pemakanan yang seimbang.
Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk menjalankan pemeriksaan penglihatan secara berkala untuk mengesan masalah mata di peringkat awal agar dapat membantu mencegah komplikasi yang lebih serius.
Selain pemeriksaan mata menggunakan AI bagi retinopati diabetik secara percuma, acara tersebut juga diserikan dengan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik dan beberapa vendor tempatan makanan dan minuman.
Pada majlis itu, Yang Berhormat Dato dan tetamu yang lain berpeluang melawat pameran dan membuat pemeriksaan mata dengan menggunakan AI.