Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jagalah jantung awda

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Walaupun banyak inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, jumlah kes masalah jantung di negara ini terus meningkat dari tahun ke tahun.

    Penyakit jantung terus menjadi penyebab kematian utama kedua di Negara Brunei Darussalam selepas penyakit kanser.

    Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, jumlah pesakit dengan masalah jantung yang dirujuk ke Gleneagles JPMC terus meningkat dan pembedahan jantung juga telah meningkat dari tahun ke tahun.

    Kebimbangan mengenai masalah jantung di kalangan warga Brunei berkenaan ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam temu bual ringkas semasa acara Walk, Run & Cycle dan Karnival sempena Hari Jantung Sedunia yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan semasa Program Bandarku Ceria, hari ini.

    Beliau menyeru kepada orang ramai untuk mendapatkan pemeriksaan saringan awal dengan memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan seperti Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan bagi semua warga dan penduduk tetap negara ini yang berusia 40 tahun dan ke atas untuk mengesan dan mengelakkan penyakit tidak berjangkit seperti hipertensi, diabetes dan kolesterol tinggi.

    Yang Berhormat Dato menekankan lagi bahawa pengesanan awal akan membolehkan rawatan yang lebih berkesan untuk diberikan kepada mereka.

    Beliau juga menyatakan kepada ahli-ahli keluarga untuk mengamalkan dan mengekalkan kehidupan pemakanan sihat.

    Di samping Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan, beliau berkata bahawa Kementerian Kesihatan dan Gleneagles JPMC juga sedang bekerjasama bagi melaksanakan Program Gaya Hidup dan Kesihatan Tempat Kerja.

    Beliau memberitahu program itu turut disertai oleh kementerian-kementerian lain di mana ia merangkumi pemeriksaan dan pemantauan kesihatan fizikal, sesi pendidikan kesihatan dan sesi senaman berkumpulan selepas waktu pejabat percuma.

    Mengulas mengenai mesejnya kepada orang ramai sempena Sambutan Hari Jantung Sedunia yang membawa tema, ‘Jantungku, Jantungmu’, beliau berkata bahawa kita harus menjaga jantung kita dan orang-orang kesayangan kita. Kita harus menjaga jantung kita bagi kebaikan keluarga kita dan juga orang sekeliling kita.

    Hari Jantung Sedunia yang disambut setiap 29 September merupakan salah sebuah platform bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai mengenai penyakit jantung dan pada masa yang sama mengingatkan orang ramai bahawa penyakit kardiovaskular dapat dicegah dengan mengambil langkah-langkah terhadap faktor-faktor risiko penyakit jantung.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda