LONDON, 7 OKT – Jaguar Land Rover akan memulakan semula sebahagian pengeluaran di tapak United Kingdom (UK) esok, selepas serangan siber melumpuhkan operasi syarikat automotif itu selama lebih sebulan, menurut kenyataan syarikat, hari ini.
Syarikat yang dimiliki oleh India itu turut mengumumkan pelan pembiayaan baharu untuk mempercepat pembayaran kepada pembekal yang menghadapi kesulitan, termasuk menyediakan tunai sebagai pendahuluan.
Pengeluaran akan disambung secara berperingkat di dua kilang di West Midlands sebelum diperluaskan ke tapak lain.
“Masih banyak yang perlu dilakukan, tetapi pemulihan kami sedang berjalan dengan lancar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Jaguar Land Rover, Adrian Mardell, dalam kenyataan rasmi.
Jaguar Land Rover, yang dimiliki oleh Tata Motors, pada 2 September lalu mengesahkan syarikat disasarkan oleh penggodam, menjejas serius jualan dan pengeluaran, serta memaksa syarikat mendapatkan dana kecemasan. Insiden itu menyebabkan gangguan meluas dalam rantaian bekalan, dengan kesatuan sekerja memberi amaran beberapa pembekal berisiko muflis akibat kelewatan pembayaran. – AFP


