KUALA LUMPUR, 5 JAN – Meskipun berusia enam tahun, jaguh cilik sukan pushbike, Maleeq Dragster, berjaya melakar sejarah tersendiri apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai juara terbanyak kejohanan pushbike kanak-kanak di luar negara dalam tempoh setahun.
Maleeq Dragster atau nama sebenarnya Wan Ayden Maleeq Wan Muhd Muzri mencatat rekod luar biasa dengan 14 kejuaraan, termasuk memenangi gelaran juara dunia kategori lima tahun di Run Bike Series (RCS) Championship di Tokyo, Jepun.
Bapanya, Datuk Seri Wan Muhd Muzri, menyifatkan kejayaan anaknya itu sebagai bukti potensi sukan pushbike dalam membentuk generasi muda yang bersemangat juang dan berani.
“Maleeq bukan sahaja mencipta rekod baharu untuk Malaysia, malah mengangkat martabat sukan pushbike tempatan ke peringkat lebih tinggi agar setanding dengan sukan kanak-kanak lain di dunia.
“Semoga dia terus mengekalkan prestasi cemerlangnya dan menjaga nama baik Malaysia di persada antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Lebih menakjubkan, selain mampu mempertahankan kejuaraan dua tahun berturut-turut di Jepun, Wan Ayden Maleeq turut mencatat kemenangan di beberapa negara termasuk Thailand, Indonesia, Filipina, Hong Kong dan Singapura.
Bahkan si cilik ini juga merangkul pelbagai kejuaraan tempatan, antaranya M8 Malaysia International Pushbike GP Series 2 2024 Langkawi, M8 Malaysia International Pushbike GP Series 4 2024 Petronas dan M8 Magnificent Race 2024.
Wan Ayden Maleeq yang kebiasaannya hanya melakukan latihan rapi pada waktu malam kerana tidak mahu mengganggu hari persekolahan, menewaskan pelumba-pelumba cilik antarabangsa dalam Rockfish Cup International Championship 2024 yang berlangsung baru-baru ini. – Bernama