Tuesday, May 6, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jahitan sambilan ibu tunggal jana pendapatan

    KUALA LUMPUR – Wakil khidmat pelanggan dan ibu tunggal, P Kannamah, 49, tidak pernah menyangka bahawa kerja jahitan sampingan boleh menjadi penyelamat hidup – membantunya menyara dua anak serta membina masa depan lebih baik.

    Bekerja sepenuh masa di pusat panggilan dan menetap di sebuah apartmen sewa di Jalan Puchong, Kuala Lumpur, Kannamah memanfaatkan masa lapangnya untuk menjahit. Hasil kerja tangannya mampu memberi pendapatan tambahan antara RM400 hingga RM800 sebulan.

    “Dengan duit lebih ini, saya boleh bayar kelas tuisyen anak-anak dan belikan mereka keperluan tambahan. Dulu saya langsung tiada simpanan dan sering menangis memikirkan masa depan mereka. Kini, saya sudah boleh mula menyimpan untuk mereka,” katanya dalam satu temu bual di Kuala Lumpur.

    Kannamah ialah antara 13 tukang kraf sambilan yang bergabung di bawah Sagemaker Asia (SA), sebuah perusahaan sosial yang memberi kuasa kepada isi rumah diketuai wanita, khususnya daripada komuniti B40.

    SA ditubuhkan tahun lalu oleh empat sahabat – Maizatul Kamal, Ummu Sulaimah, Azeerah Hakim dan Shafiqah Zainol – yang berusia lewat 20an hingga awal 30an. Inisiatif ini menawarkan peluang pendapatan melalui pembuatan barangan seperti beg tote, magnet peti sejuk dengan boneka jari, ikat rambut elastik, alas cawan kait dan buku senyap interaktif untuk kanak-kanak.

    Kannamah berasa bermotivasi dan gembira apabila memperoleh pendapatan melalui hasil kerja tangannya. – ANN/The Star
    Para penggiat kraf Sagemakers Asia berkumpul di sebuah kafe setiap dua minggu untuk membincangkan tempahan jahitan serta saling menyokong melalui persahabatan dan perkongsian nasihat. – ANN/The Star
    Setiap buku senyap untuk kanak-kanak dijahit dengan tangan oleh penggiat kraf Sagemakers Asia. – ANN/The Star

    Kannamah mengetahui tentang SA melalui kenalan yang memaklumkan usaha itu sedang mencari wanita B40 untuk menjadi tukang kraf. Kerana mempunyai kemahiran asas menjahit dan sebuah mesin jahit elektrik, beliau mencuba nasib.

    “Saya menjahit bila ada masa – kadang-kadang sambil menonton televisyen atau selepas kerja rumah. Ia fleksibel dan mudah diuruskan. Purata saya boleh siapkan sekitar 20 beg tote seminggu,” katanya yang menggunakan mesin jahit Janome miliknya.

    Selain menjana pendapatan, beliau turut memperoleh semangat kebersamaan menerusi persahabatan yang terjalin sesama tukang kraf lain. Setiap dua minggu, mereka berkumpul di sebuah kafe di ibu kota untuk berbincang tempahan SA, selain berkongsi cerita, nasihat dan sokongan.

    “Walaupun berlainan kaum, mereka seperti adik-beradik yang saya tak pernah ada. Kami semua senasib – bergelut dari segi kewangan dan beberapa daripada kami juga ibu tunggal. Kami saling menyokong agar terus kuat walau sesukar mana sekalipun,” katanya.

    Kisah persahabatan ini sejajar dengan misi SA yang bukan sekadar memberikan pendapatan tetapi juga mewujudkan ekosistem sokongan yang membina kekuatan dan keberanian sesama wanita.

    “Kami impikan komuniti yang saling mengangkat satu sama lain, berkongsi ilmu, sumber dan ketahanan. Misi kami ialah memperkasa wanita, mengiktiraf sumbangan mereka dan menyemai penyembuhan melalui rangkaian sokongan kukuh,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif SA, Maizatul.

    Inspirasi penubuhan SA berpunca daripada kisah ibu Ummu yang membesarkan sembilan anak secara bersendirian. Kisah tersebut, bersama pengalaman hidup pengasas SA, mendorong penubuhan projek ini. Para tukang kraf SA berusia antara 20 hingga 55 tahun dan kebanyakannya berasal dari Lembah Klang.

    Berbekalkan latar belakang profesional dalam pemasaran, komunikasi korporat, pengurusan dan operasi, pengasas SA berjaya membangunkan perusahaan ini dengan dana permulaan RM50,000 daripada hab inovasi sosial Seed.Lab di Kuala Lumpur.

    “Ketika menjalankan kajian dan temu bual, kami dapati ramai wanita B40 memang sudah aktif dalam industri kecil-kecilan seperti menjahit. Namun, bakat mereka sering terpinggir kerana kekurangan pengetahuan perniagaan, masa, modal dan akses pasaran,” jelas Maizatul.

    Nama ‘Sagemaker’ pula diinspirasikan daripada herba ‘sage’ yang sinonim dengan sifat penyembuhan, manakala ‘maker’ mencerminkan sifat kerja tangan. Bersama, ia melambangkan wanita sebagai pencipta bijak yang mampu memberi impak besar kepada keluarga dan komuniti.

    SA terus mencari wanita yang memiliki kemahiran menjahit atau kraf tangan, atau yang sanggup belajar. Paling penting, mereka perlu komited terhadap garis masa projek dan terbuka untuk berkembang bersama. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda