Friday, February 28, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    JAIS pantau premis tiada sijil halal promosi bufet Ramadan

    KUCHING, 27 FEB – Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) akan giat melakukan penguatkuasaan bagi memastikan hanya premis makanan dan hotel yang mempunyai pensijilan halal sahaja mempromosikan tawaran bufet menggunakan istilah Ramadan. 

    Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata premis yang masih dalam proses permohonan pensijilan itu juga tidak dibenarkan berbuat demikian.

    “Berdasarkan maklumat yang saya peroleh, (belum ada laporan atau aduan) di Sarawak kerana semua patuh. Pegawai JAIS juga telah memberikan nasihat kepada premis makanan supaya mendapatkan sijil berkenaan terlebih dahulu.

    “Ada yang belum mendapat pensijilan halal seperti premis dan hotel yang baharu, mereka tidak dibenarkan mengiklankan promosi menggunakan (istilah) bufet Ramadan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan dan Pengumuman Kadar Zakat Fitrah 1446H di sini hari ini. 

    Majlis Islam Sarawak menetapkan kadar zakat fitrah sebanyak RM7.50 seorang tahun ini. Sementara itu, beliau berkata arahan atau pekeliling mengenai perkara itu sememangnya dikeluarkan setiap tahun menjelang bulan Ramadan. 

    Sebelum ini, JAIS dalam kenyataan memaklumkan hotel atau premis makanan yang tidak mempunyai sijil halal tidak dibenarkan menggunakan istilah Ramadan antaranya ‘Bufet Ramadan’, ‘Iftar Ramadan’, ‘Jom Iftar’ dan ‘Dijamin Halal’ dalam pengiklanan mereka.

    Istilah berkenaan turut meliputi frasa yang merujuk kepada makanan yang boleh dimakan oleh orang Islam untuk berbuka puasa dan ini mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 serta penalti tambahan yang tidak melebihi RM10 juta. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda