Tuesday, September 24, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jakarta dan Wellington tolak dakwaan sogokan

    JAKARTA, 23 SEPT – Jakarta dan Wellington hari ini menafikan dakwaan oleh pemberontak di wilayah bergolak Papua, Indonesia bahawa seorang juruterbang New Zealand dibebaskan daripada tahanan pada hujung minggu selepas mereka menerima bayaran daripada seorang pemimpin tempatan.

    Phillip Mehrtens, 38, dibebaskan pada Sabtu oleh kumpulan pemberontak Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat (TPNPB) selepas 19 bulan dalam tahanan.

    Sebby Sambom, jurucakap kumpulan itu, berkata kerajaan Indonesia memberikan wang kepada pemangku ketua daerah Papua di mana Mehrtens dibebaskan, menuduhnya membayar pemberontak kemudian, tanpa memberikan bukti.

    “Angkatan tentera dan polis Indonesia memberikan wang sogok kepada Edison Gwijangge dan pasukannya,” katanya dalam satu kenyataan kepada AFP hari ini, merujuk kepada pemangku ketua Kabupaten Nduga.

    Dana tersebut kemudiannya sampai kepada pemberontak ‘melalui sistem keluarga’, kata Sambom.

    “TPNPB menyerahkan juruterbang kepada Edison. Kemudian Edison menyerahkan juruterbang kepada angkatan tentera dan polis Indonesia.”

    Menteri Luar New Zealand, Winston Peters, dengan cepat menolak sebarang cadangan bahawa Wellington terlibat dalam pembayaran untuk pembebasan Mehrtens, dengan mengatakan bahawa diplomasi yang menjamin kebebasannya.

    “Sejujurnya saya rasa ini memalukan, malah dicadangkan bahawa sogokan telah diberikan – kami tidak membayar wang tebusan, kami tidak membayar sogokan,” kata Peters kepada Radio New Zealand hari ini.

    “Semua kerja yang dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk pegawai, berusaha sedaya upaya dan sangat berhati-hati – supaya tidak membuat kesilapan atau menyinggung perasaan dan mengelak daripada mengalami kegagalan – kini telah dicemari oleh dakwaan rasuah.” – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda