JAKARTA, 4 SEPT – Tentera Indonesia melancarkan rondaan berskala besar setiap hari di seluruh Jakarta Raya sejak 31 Ogos lalu susulan tunjuk perasaan ganas berhubung elaun kontroversi Parlimen, sambil menggesa penduduk bersama-sama mengekalkan keamanan dan ketenteraman.
Pasukan tentera dikerah tiga kali sehari iaitu pada 1 pagi, 10 pagi dan 8 malam – menggunakan motosikal, kenderaan taktikal, trak serta kereta pengiring bagi memastikan keselamatan di ibu negara dan kawasan sekitarnya.
Leftenan Kolonel, Erly Merlian, yang mengetuai operasi itu berkata rondaan akan diteruskan sehingga keadaan benar-benar pulih dan Jakarta kembali normal sepenuhnya.
Beliau berkata keadaan semasa rondaan sebelum ini dan semalam adalah tenang, dengan penduduk meneruskan rutin harian mereka termasuk bekerja, membeli-belah dan aktiviti harian lain.
“Jakarta kembali berada dalam keadaan stabil dan selamat, tetapi ia masih memerlukan usaha bersama untuk mengekalkannya.
“Dengan langkah tepat serta penglibatan meluas, bandar ini dapat mengekalkan keadaan positif ini,” katanya pada sidang akhbar selepas rondaan. – Bernama


