Saturday, July 26, 2025
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jaket Hijau jadi rebutan di Baiduri Masters

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Baiduri Masters kini bukan sekadar kejohanan golf, ia telah berkembang menjadi simbol gabungan sukan dan tujuan yang bermakna. 
     
    Menjelang penganjuran edisi tahun ini, Kumpulan Bank Baiduri mengalu-alukan penyertaan para pemain golf dari semua peringkat dalam acara yang bukan sahaja meraikan persaingan, tetapi juga sumbangan yang memberi impak kepada masyarakat.
     
    Baiduri Masters 2025 akan berlangsung selama dua hujung minggu iaitu dari 1 hingga 3 Ogos dan 8 hingga 10 Ogos, di Kelab Golf Pantai Mentiri. 
     
    Sebagai antara acara tahunan yang paling dinanti-nantikan dalam kalendar golf Brunei, para pemain akan sekali lagi bersaing merebut Jaket Hijau dan Piala Cabaran, sambil mengumpul dana bagi tujuan kebajikan yang memberi manfaat kepada komuniti tempatan.
     
    Bagi Irwan Hamid, juara tahun lalu, kenangan kemenangannya masih terasa seperti mimpi. 
     
    Wakil dari badan-badan amal yang disokong tahun lalu, yang terus menjalankan usaha murni dalam memperkasa kehidupan masyarakat di seluruh Brunei. – GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI
    Irwan Hamid dan Almas Syadzwanie, juara Baiduri Masters 2024. – GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI
    “Saya langsung tidak jangka akan menang. Masih rasa macam tidak percaya. Tapi saya amat bersyukur,” kongsinya. 
     
    “Saya sudah berusaha keras dan apabila melihatnya membuahkan hasil, ia amat menakjubkan.”
     
    Perjalanan Irwan dalam dunia golf bermula sejak kecil dan melalui latihan serta penyertaan yang berterusan, termasuk beberapa kali menyertai Baiduri Masters, beliau telah belajar untuk kekal merendah diri. Sorakan penonton mengiringi langkahnya ke lubang terakhir tahun lalu. Momen itu, katanya, “Ia memberi keyakinan dan mengingatkan saya tentang betapa ramai yang menyokong saya.”
     
    Sementara itu, Almas Syadzwanie, juara kategori wanita tahun 2024, turut berkongsi penghargaan terhadap makna kejohanan ini. Beliau mula memegang kayu golf seawal usia lapan tahun, dibimbing oleh abang dan kakaknya. Ketika di Sekolah Sukan, beliau mula menyertai Baiduri Masters dalam kategori junior.
     
    “Saya rasa gembira dan bersyukur dengan kemenangan yang saya capai tahun lalu. Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya,” katanya.
     
    Namun bagi Irwan dan Almas, inti pati sebenar Baiduri Masters bukan sekadar permainan, tetapi kebaikan yang dibawanya.
     
    “Saya tersentuh melihat sumbangan untuk kanak-kanak yang memerlukan bantuan pembangunan,” kata Irwan. 
     
    “Ia sangat memberi inspirasi melihat bagaimana sumbangan kecil pun boleh memberi impak besar.” 
     
    Almas turut bersetuju, “Ia bukan hanya tentang menang,” tambahnya. “Ia tentang menyertai sesuatu yang membantu orang lain – itu yang menjadikan pengalaman ini lebih bermakna.”
     
    Keseluruhan hasil yuran penyertaan tahun ini akan disalurkan kepada lima organisasi tempatan, Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (CDC), SMARTER Brunei, Persatuan Kebangsaan Orang Cacat Penglihatan Brunei Darussalam (BDNAB), La Vida dan Learning Ladders Society
     
    Kelima-lima organisasi ini terlibat dalam bidang terapi, pendidikan dan pembangunan inklusif dan Baiduri Masters terus menjadi antara saluran utama pengumpulan dana bagi mereka.
     
    Pendaftaran kini dibuka secara dalam talian di www.maribali.com.bn/baiduri-bank, dan peserta awal akan menerima diskaun $5 sebagai sebahagian daripada inisiatif mesra alam kejohanan ini yang mengurangkan penggunaan kertas. 
     
    Bagi mereka yang tidak dapat mendaftar secara dalam talian, pendaftaran secara fizikal tersedia di Kelab Golf Pantai Mentiri. 
     
    Walau bagaimanapun, penyertaan hanya disahkan selepas bayaran penuh dibuat. Borang pendaftaran juga boleh dimuat turun dari www.baiduri.com.bn/baiduri-masters.
     
    Seperti tahun-tahun sebelumnya, para peserta akan bersaing bukan sahaja untuk kejuaraan utama, tetapi juga pelbagai hadiah hole-in-one menarik termasuk sebuah BMW iX, Porsche Macan EV, MINI Aceman dan hadiah wang tunai $20,000. 
     
    Ketika ditanya sama ada mereka akan mempertahankan gelaran masing-masing, kedua-dua juara memberi jawapan yang sama, satu persetujuan tegas. “Oh sudah tentu,” kata Irwan. “Tidak akan serahkan trofi begitu sahaja.” Almas juga mengesahkan penyertaannya semula, “Insya Allah, saya akan buat yang terbaik.”
     
    Pesanan mereka kepada pemain baharu juga jelas: nikmatilah permainan ini. “Jangan terlalu fikirkannya,” kata Irwan. “Golf ini tentang menikmati perjalanan.” Almas menambah, “Jadikan permainan awda lebih daripada sekadar permainan. Jadikan ia satu harapan buat orang lain.”
     
    Pendaftaran untuk Baiduri Masters 2025 kini dibuka. Sama ada awda memburu kedudukan teratas atau baru pertama kali mencuba, setiap pukulan menyumbang kepada sesuatu yang lebih besar. Seperti yang ditunjukkan oleh kedua-dua juara tahun lalu, markah itu penting – tetapi impaknya jauh melebihi padang permainan.Majlis makan malam penghargaan akan diadakan di penghujung kejohanan bagi meraikan para pemenang serta penyampaian hadiah cabutan bertuah dan hadiah novelti.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda