BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Tirai Liga Beyblade Brunei Darussalam (LBBD) musim 2024/2025 secara rasmi dilabuhkan dengan Pasukan Jakusha Bladers muncul sebagai juara keseluruhan setelah mengumpul 305 mata, sekali gus mendominasi liga dengan pungutan mata tertinggi.
Tempat kedua menjadi milik Pasukan DBos Beys yang berjaya mengutip 225 mata, manakala Pasukan SA Bladers menduduki tempat ketiga dengan 217 mata, diikuti oleh Pasukan Undergroundz X di tangga keempat dengan 127 mata.
Pertandingan penutup liga yang berlangsung di Teratak DBos, Kampung Mentiri menyaksikan saingan sengit antara DBos Beys dan SA Bladers dalam perebutan kedudukan kedua dan ketiga, dengan perbezaan mata yang sangat rapat.
Liga Beyblade Brunei Darussalam 2024/2025 merupakan antara kejohanan yang dianjurkan bagi menghargai dan memberi pengiktirafan kepada pasukan-pasukan Beyblade tempatan yang aktif menyemarakkan sukan tersebut di negara ini.
