KUCHING, 25 OGOS – Sarawak hari ini melancarkan jalan raya pertama yang dibina menggunakan sisa plastik sekali guna di Lawas, pencapaian penting terhadap komitmen negeri itu ke arah kelestarian alam sekitar dan inovasi teknologi hijau.
Pusat Teknologi Sarawak (CENTEXS) dalam kenyataan memaklumkan pelancaran yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, itu bersempena pembukaan kampus CENTEXS di Lawas, daerah paling utara di negeri itu.
Projek berkenaan dibangunkan hasil kerjasama dengan Janatek Resources dan Renergy Bumi Hijau (RBH), sebuah syarikat pemula teknologi hijau tempatan diterajui wanita, yang berjaya menukar hampir 400 kilogram sisa plastik dikumpul dari seluruh negara kepada jalan asfalt hijau sepanjang 100 meter di kawasan fasiliti CENTEXS, Lawas.
“Inovasi ini 100 peratus buatan Malaysia, dari peringkat idea hingga pelaksanaannya. Inisiatif ini merealisasikan visi yang pernah disuarakan oleh Premier beberapa tahun lepas yang menggesa inovasi digunakan dalam menangani sisa plastik melalui pembinaan jalan,” menurut kenyataan itu.
Menurut CENTEXS, projek asfalt hijau merupakan projek utama di bawah Dasar Pengurusan Sisa Plastik dan Ekonomi Kitaran Sarawak yang menggalakkan kitar semula, pengurangan sisa dan pemanjangan hayat bahan kitar sebagai sebahagian daripada komitmen negeri itu ke arah masa depan sifar sisa.
Antara manfaat utama teknologi itu termasuk mengurangkan pencemaran plastik, meningkatkan ketahanan jalan raya dengan kos penyenggaraan jangka panjang lebih rendah serta mewujudkan peluang pendapatan kepada komuniti setempat, khususnya wanita dan golongan kurang bernasib baik.
“Kejayaan pelaksanaan jalan raya asfalt hijau ini di Sarawak membuka jalan kepada penggunaan teknologi pembinaan jalan lestari yang lebih meluas di seluruh negeri. Ia mengukuhkan komitmen kerajaan terhadap kelestarian alam sekitar, penyertaan komuniti dan pertumbuhan ekonomi hijau,” menurut CENTEXS. – Bernama


