Saturday, March 15, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jalan dibuka, pencarian mangsa ribut diteruskan

    BUFFALO, NY, 29 DIS – Jalan raya dibuka semula hari ini di Buffalo yang dilanda ribut ketika pihak berkuasa meneruskan pencarian orang yang mungkin mati atau tersepit dan terjejas selepas ribut salji melanda bandar tersebut minggu lalu.

    Datuk Bandar Byron Brown mengumumkan perintah larangan memandu di bandar kedua yang memiliki penduduk yang ramai di New York itu ditarik balik tengah malam hari ini.

    “Keadaan pulih agak ketara apabila salji tebal mulai cair,” katanya pada sidang akhbar kelmarin, manakala Jalan pinggir bandar, lebuh raya utama dan Lapangan Terbang Antarabangsa Buffalo Niagara telah dibuka semula.

    Namun, Brown menggesa penduduk untuk tidak memandu jika tidak penting.

    Lebih daripada 20 kematian telah dilaporkan di barat New York akibat ribut salji yang melanda sebahagian besar negara, dengan Buffalo berada di pertengahan ribut pada Jumaat dan Sabtu.

    Pengawal Kebangsaan memeriksa dari pintu ke pintu orang yang tiada bekalan elektrik, dan pihak berkuasa berdepan kemungkinan mencari lebih ramai mangsa apabila salji cair dalam cuaca yang semakin sederhana. Polis Bufallo dan pegawai dari agensi penguatkuasaan undang-undang lain turut mencari mangsa, kadangkala menggunakan kereta salji peribadi pegawai, trak dan peralatan lain.

    Dengan jumlah kematian melebihi jumlah kejadian ribut salji dahsyat terkenal di kawasan itu pada tahun 1977, pegawai tempatan dipersoalkan atas tindak balas mereka menangani ribut pada minggu lalu.

    Mereka menegaskan bahawa mereka bersedia tetapi cuaca luar biasa dahsyat, walaupun untuk wilayah yang terdedah kepada ribut musim sejuk yang kuat. – AP

    Seorang lelaki membersihkan jalan raya yang diselaputi salji di Buffalo, NY. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda