KUALA KRAI, 27 DIS – Kira-kira 400 penduduk Kampung Pemberian di sini terputus hubungan dengan pusat bandar berikutan jalan sepanjang 100 meter di penempatan itu ditenggelami air akibat banjir sejak Isnin lepas.
Hal itu menyukarkan kehidupan harian penduduk malah ada yang terpaksa bergantung harap kepada bantuan jiran yang mempunyai bot atau menempuh perjalanan sejauh 30 kilometer (km) dengan mengambil masa 45 minit melalui laluan alternatif untuk merentasi Sungai Lebir ke pusat bandar.
Penduduk kampung yang juga petugas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Pemberian, Che Rasidi Mustapha, 54, berkata keadaan itu menyukarkan penduduk terutamanya warga emas yang perlu ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Rata-rata penduduk kampung ini ramai orang tua yang ada penyakit. Susah sebenarnya nak bawa mereka keluar naik bot sebab nanti sudah seberang perlu cari jalan pula macam mana hendak bawa mereka ke hospital, kami cuma boleh harapkan ambulans tunggu di seberang,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini. – Bernama










