Oleh Nurdiyanah R.
Gambar oleh Muiz Matdani
Mengikat tali persaudaraan sesama Muslim menjadi satu kewajipan buat setiap umat Islam. Apabila tali kasih sayang bertaut, maka hubungan kekeluargaan, persaudaraan serta persahabatan dapat dibina dengan baik.
Itulah yang ingin dicapai dan disemai oleh rombongan 28 orang Muslimah Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop semasa mengadakan lawatan ke beberapa buah tempat menarik di Daerah Temburong baru-baru ini.
Lawatan yang dikendalikan oleh Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB) menerusi salah satu pakej pelancongan domestik menarik menerusi Temburong 1 Kampung 1 Produk (1K1P) sememangnya bermatlamat untuk menyediakan platform kepada setiap lapisan masyarakat di negara ini untuk sama-sama menerokai keindahan khazanah warisan budaya di samping menjelajah ke tempat-tempat menarik yang terdapat di daerah kedua terbesar ini daripada tiga buah daerah yang lain.
Bersemaraknya ikatan persaudaraan
Semasa ditemui Media Permata, Datin Hajah Rosni binti Haji Tungkat selaku ketua Muslimah masjid berkenaan menyatakan bahawa adapun kegiatan lawatan yang berkonsepkan jalan-jalan di dalam negara itu merupakan buat julung kalinya dijalankan menggunakan bas merentasi Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien sejak ia dibukakan untuk orang ramai dan ketika negara berwaspada menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara dan dunia amnya.
“Inilah sebahagian aktiviti kami sesama ahli Muslimah masjid yang amat dinanti-nantikan sebelum ini. Semestinya ia begitu menyeronokkan, lebih-lebih lagi Daerah Temburong masih mengekalkan keunikan alam kehijauannya.



“Pastinya ikatan persaudaraan kami semakin bersemarak dengan adanya lawatan sebegini, lebih-lebih lagi sama-sama mengisi masa lapang dengan sebaik-baiknya, selain daripada melakukan pelbagai kegiatan keagamaan seperti membaca Al-Quran, kelas fardu Ain dan sebagainya,” ujarnya dengan senyuman manis sambil duduk bersantai bersama ahli Muslimah masjid yang kebanyakannya sudah bersara.
Keterujaan terokai produk keluaran MPK
Dalam pada itu, Datin Hajah Rosni turut berkongsi pandangan bahawa masyarakat di daerah yang terkenal dengan julukan ‘Permata Hijau Brunei’ ini tidak kurang hebatnya seperti di daerah-daerah lain yang dilihat begitu meriah dalam mengetengahkan keunikan produk-produk 1K1P dengan kreativiti mereka tersendiri menerusi majlis perundingan kampung (MPK) masing-masing.
“Bukan hanya dapat menyaksikan produk-produk istimewa mereka seperti kraf tangan anyaman dan ayam buluh bahkan kami juga dapat menyelami kehidupan masyarakat Iban yang memiliki kebudayaan dan kesenian yang tersendiri.
Begitulah keindahannya yang dapat diungkapkan setibanya kami di Rumah Panjang di Kampung Sibut, Mukim Amo,” tambahnya lagi.
Selain itu, pengalaman untuk kenangan turut dilakar apabila mereka berpeluang menyaksikan pro-ses-proses pembuatan ambulong di Pondok Ambulong yang diketengahkan oleh MPK Batu Apoi, Mukim Batu Apoi. Kemudian diserikan lagi dengan
lawatan terakhir ke MPK Puni dan Ujung Jalan yang terkenal dengan pembuatan telur masin di Balai Raya Kampung Puni.
“Yakin dan optimis tanpa berdalih, itulah kekuatan prinsip jelas terpancar pada wajah-wajah mereka yang bukan hanya daripada warga emas bahkan juga golongan belia di daerah ini tetap bangkit bersama untuk menerokai dunia keusahawanan.
“Hal ini sememangnya suatu yang mampu memberi inspirasi kepada kita untuk membuka minda dalam sama-sama memanfaatkan bakat atau kemahiran yang ada dengan sebaik-baiknya,” kata Datin Hajah Rosni lagi semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis dan rakan Media Permata.