Tuesday, February 11, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jalan Pasir Putih mula ditayangkan

    Oleh Normazlina M.D

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Filem seram Jalan Pasir Putih yang merupakan filem pertama seorang pengarah muda tempatan, Awang Mohamad Azri Al Azhar bin Edham Khalid atau dikenali sebagai Aj Khalid akan mengadakan tayangan perdana esok, jam 8 malam di Plaza Sutera Biru, Seria.

    Aj Khalid, 25, ketika ditemui melahirkan rasa amat gembira dan gementar kerana ini merupakan filem pertamanya yang telah diberikan kelulusan dan akan ditayangkan di Plaza Sutera Biru selama empat minggu bermula 23 Februari, iaitu bersempena Hari Kebangsaan Brunei ke-33 tahun.

    Menurut beliau, Filem Jalan Pasir Putih ini yang penggambarannya mula dijalankan pada tahun 2015, merupakan sebuah filem seram yang berunsurkan kisah-kisah benar dan hanya 30 peratus di dalamnya hanyalah rekaan bagi menghasilkan jalan cerita yang memuaskan.

    Jelasnya lagi, filem tersebut diilhamkan daripada filem Malaysia yang pernah ditontonnya iaitu Jalan Karak.

    Apa yang menarik dalam Filem Jalan Pasir Putih ini, cerita tersebut adalah daripada cerita orang ramai yang dahulunya pernah melalui Jalan Pasir Putih.

    Aj Khalid bergambar ramai bersama barisan pelakon dan kru yang menjayakan Filem Jalan Pasir Putih yang akan ditayangkan hari ini (23 Februari) di Plaza Sutera Biru, Seria.
    Aj Khalid bergambar ramai bersama barisan pelakon dan kru yang menjayakan Filem Jalan Pasir Putih yang akan ditayangkan hari ini (23 Februari) di Plaza Sutera Biru, Seria.

    Filem itu juga banyak mengandungi unsur pengajaran seperti menampilkan kekuatan dan kebesaran ayat-ayat suci Al-Quran, tolong-menolong, kejiranan, jangan menilai seseorang daripada luaran dan banyak lagi, jelas Aj Khalid.

    Barisan pelakon dalam filem berkenaan ialah Bella Tejudin, Abby Skandar, Firdaus Salleh, Afiq Julaihi, Afiq Abdul Razak dan lain-lain lagi.

    Beliau berharap filem tersebut akan dapat diterima oleh orang ramai dan seterusnya menjadi bualan orang ramai.

    Jika sekiranya terdapat kekurangan, Aj Khalid meminta maaf dan berharap akan dapat memajukan lagi perindustrian filem negara dan seterusnya akan memberikan kepuasan kepada penonton nanti.

    Aj Khalid juga menyatakan harapan bahawa rancangan membuat filem seterusnya akan dapat bekerjasama dengan perindustrian filem Malaysia pada masa akan datang.

    Dalam kesempatan itu, bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Brunei yang ke-33 tahun, beliau mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan kepada semua rakyat Brunei dan turut memberi galakan kepada para belia di luar sana yang berminat dalam perindustrian filem untuk sentiasa berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah kerana rezeki itu ada di mana-mana dan haruslah berusaha gigih untuk mencapainya.

    Selain itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada keluarganya, kru-kru Camlight-Graphy Studio, para pelakon Jalan Pasir Putih, Plaza Sutera Biru, Adam Groves, Coffeescrub Lawa-kaliah, Neez Hs, Fakhrul Razi, Brunei Dot Com, Penyokong Artis Brunei yang membantu menjayakan Filem Jalan Pasir Putih.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda