Saya ingin menyuarakan keluhan mengenai keadaan Jalan Rasau-Sungai Tujoh, satu-satunya laluan menuju ke negara jiran, yang telah menjadi masalah besar bagi ramai pengguna jalan.
Keadaan jalan yang berombak dan berlubang bukan sahaja menyukarkan perjalanan, malah meningkatkan risiko keselamatan kepada pemandu.
Ketika ini, jalan yang rosak bukan sahaja mengganggu kelancaran perjalanan, tetapi juga meningkatkan risiko kerosakan kenderaan dan kemalangan, terutamanya pada musim hujan apabila lopak semakin membesar dan keadaan jalan bertambah teruk.
Keadaan ini telah berlarutan selama bertahun-tahun tanpa pembaikan atau penyelenggaraan yang memadai, seolah-olah tiada perhatian serius diberikan terhadap keperluan pengguna jalan ini.
Ramai penduduk dan pekerja yang bergantung sepenuhnya pada laluan ini berasa kecewa, kerana mereka terpaksa menghadap isu yang sama setiap hari.
Oleh itu, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera dengan melaksanakan pembaikan dan penambahbaikan yang lebih berkesan.
Penambahbaikan jalan ini bukan sahaja akan meningkatkan keselamatan pengguna, tetapi juga memperbaiki kecekapan ekonomi, memudahkan pengangkutan barangan dan perkhidmatan, serta memberi manfaat besar kepada komuniti.
Pemandu Prihatin
