Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jalani tanggungjawab demi saling melindungi

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Kementerian Kesihatan dan Dayang Nur ‘Aliyah

    Dalam situasi dunia yang dilanda penularan pandemik COVID-19 dan tidak terkecuali negara kita, setiap daripada kita tidak kira jantina, peringkat usia mahu pun bangsa perlu memiliki jiwa dan semangat berganding bahu membendung ancaman gelombang wabak ini daripada berlarutan.

    Tanpa menuding jari pada sesiapa, masing-masing perlu bertanggungjawab untuk bertindak pelbagai cara daripada proses pencegahan serta sokongan teguh kepada pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi berkepentingan sehingga ke titik kemenangan yang sebenar.

    “Saya sudah dijangkiti. Kini apa yang perlu saya sarankan kepada semua untuk sentiasa menjaga diri selalu dengan mengamalkan rutin kebersihan sebaiknya. Pentingnya juga untuk sentiasa teranah di rumah pada saat situasi kritikal sebegini.

    “Tidak perlu berjumpa mahu pun melawat sesiapa pada waktu-waktu sebegini. Ini begitu penting kerana kita tidak tahu sesiapa yang dijangkiti, lebih-lebih lagi, jika seseorang yang kita temui itu seseorang yang tiada memiliki gejala,” itu antara luahan salah seorang pesakit COVID-19 yang menjalani sesi kuarantin di pusat pengasingan bertempat di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Batu Apoi, Daerah Temburong, Dayang Nur ‘Aliyah binti Abdullah Chia semasa temubual menerusi panggilan video dalam talian, baru-baru ini.

    Pengalaman mula dijangkiti

    Berkongsi pengalaman sebelum didapati disahkan positif, wanita yang lebih senang disapa dengan panggilan Dayang ‘Aliyah, 34, menyatakan beliau disahkan positif COVID-19 daripada seorang kontak rapat yang telah mengunjungi rumahnya pada 7 September yang lalu.

    Menurut Dayang ‘Aliyah memanfaatkan masa adalah perkara yang diterapkan dalam sehari-hari yang antaranya dengan menyelesaikan tugasan pekerjaan secara dalam talian.
    Antara makanan yang diberikan semasa menjalani perintah kuarantin.
    Dayang ‘Aliyah semasa kesempatan ditemui menerusi panggilan video dalam talian, baru-baru ini.

    “Sejujurnya beliau juga tidak menyedari telah dijangkiti pada ketika itu kerana tidak mempunyai gejala yang mana pada masa itu, beliau datang ke rumah saya hanya untuk menyampaikan ucapan takziah kerana salah seorang ahli keluarga saya baru meninggal dunia,” jelasnya lagi dan turut menambah beliau mula mengalami simptom, seperti batuk dan selesma pada 11 September.

    Tambahnya lagi, selepas mengetahui kontak rapat tersebut dimasukkan ke Pusat Pengasingan Kebangsaan kerana mengalami sakit dada dan sesak nafas, beliau terus pergi menjalani ujian swab di Dewan Bridex pada 14 September.

    “Selepas disahkan positif COVID-19 pada ketika itu, perasaan memang sedih namun inilah ujian yang perlu ditempuhi dengan tenang. Saya mula memasuki pusat pengasingan di sini pada 16 September lalu dan tunang saya turut mengalami situasi yang sama,” ujarnya lagi yang turut bersyukur ahli keluarga yang lain disahkan negatif pada masa itu.

    Mengisi masa sebaiknya

    Dalam pada itu, Dayang ‘Aliyah turut mengongsikan dalam meniti masa-masa sesi kuarantin tersebut, memanfaatkan masa adalah perkara yang diterapkan dalam sehari-hari yang antaranya dengan menyelesaikan tugasan pekerjaan secara dalam talian.

    “Setiap hari, saya akan bangun dan solat Subuh sebelum tidur semula. Kemudian, saya akan bangun pada pukul 7 pagi dan mandi serta bersarapan. Selalunya saya akan mengisi masa dengan membaca. Memandangkan kerja saya hanya memerlukan sambungan Internet yang baik dan komputer riba, saya tetap bertugas (secara dalam talian) semasa berada di sini,” jelasnya lagi.

    Beliau turut merakamkan kesyukuran sepanjang berada di pusat pengasingan berkenaan, pelbagai kemudahan asas disediakan untuk keperluan harian dengan penuh selesa antaranya dapur; pantri; dan mesin cuci pakaian. Selain itu, makanan kering juga diberikan setiap dua atau tiga hari. Tidak dinafikan juga layanan para jururawat yang bertugas dan sukarelawan juga sangat membantu mereka agar terus bangkit dan yakin berusaha untuk sembuh.

    “Sebagai manusia biasa, ada kalanya saya mengalami stres. Namun para jururawat di sini sangat prihatin dan bercakap secara sopan kepada pesakit,” ucapnya dengan nada ketulusan.

    Amalan perubatan peribadi

    Bagi membantu proses pemulihan, Dayang ‘Aliyah turut mengambil inisiatif lain, antaranya dengan mengambil perubatan tradisional Cina (TCM) dan mengamalkan latihan pernafasan bagi menguatkan sistem imun.

    “Walaupun tidak dijangkiti COVID-19, amalan ini dapat diterapkan dalam kehidupan seharian,” ujarnya lagi.

    Dalam pada itu, beliau turut memberi penekanan mengenai pentingnya bagi orang ramai berada di rumah bagi mengelakkan penyebaran COVID-19.

    “Kalau kita tidak memikirkan diri sendiri, fikirkan ahli-ahli keluarga dan orang-orang tersayang,” katanya yang juga sudah melengkapi suntikan dos vaksin keduanya pada 9 September lalu.

    “Walau bagaimanapun, dua hari selepas itu, saya mengalami gejala jangkitan. Mungkin disebabkan tubuh kita memerlukan masa sekurang-kurangnya dua minggu selepas suntikan untuk membina imuniti,” jelasnya semasa mengakhiri sesi temu bual bersama pihak media, baru-baru ini.

    Setiap pengalaman itu perlunya dijadikan pengajaran bersama. Pastikan kita dan ahli keluarga kita untuk sentiasa teranah di rumah jika tiada keperluan atau kepentingan tertentu demi sama-sama memutuskan rangkaian virus ini. Anggaplah diri kita semua sebagai ‘adiwira’ untuk bersama melindungi bukan hanya untuk diri sendiri bahkan juga insan-insan di sekeliling kita.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda