Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Menggunakan nama orang tempatan untuk membuka perniagaan di negara ini dengan diberikan bayaran bulanan yang rendah memang diambil berat oleh Bahagian Pendaftaran Nama-nama Syarikat dan Perniagaan (ROCBN).
Sejak Oktober lepas, ROCBN telah memanggil setiap syarikat yang akan didaftar dengan melibatkan orang luar untuk datang ke pejabat mereka bagi ditemu bual, sama ada orang tempatan berkenaan faham atau tidak mengenai perniagaan yang akan mereka tubuhkan.
“Hasil daripada temu bual tersebut, didapati kebanyakan orang tempatan berkenaan nampaknya digunakan nama mereka untuk mendaftarkan syarikat. Oleh yang demikian, sekiranya ada terjumpa kes-kes seperti sedemikian, ROCBN tidak akan meluluskan pendaftaran mereka.”
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menjelaskan perkara ini semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-16 di Bangunan Dewan Majlis, hari ini, bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh ahli MMN, Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari.
Yang Berhormat Dato menambah, sejumlah besar pendaftaran syarikat yang melibatkan orang luar mendaftar ke ROCBN sejak Oktober 2019 telah ditolak.
Dalam pada itu, beliau berharap agar mereka yang diluluskan itu benar-benar menjalankan perniagaan di Brunei mengikut akta dan peraturan yang ada.
Menyentuh mengenai pendaftaran syarikat menggunakan agensi yang turut dibangkitkan oleh Yang Berhormat Haji Mohimin, Yang Berhormat Dato berkata, ia tertakluk kepada pihak individu memandangkan mereka adalah pembekal perkhidmatan.
“Walau di mana-mana negeri juga, mereka yang hendak mencari kemudahan, mereka menggunakan agensi bukan sahaja bagi mendaftar syarikat tetapi juga bagi memproses urusan pekerja dan sebagainya,” jelas beliau. Menurut Yang Berhormat Dato, ia merupakan satu perkhidmatan yang diberikan kepada siapa-siapa yang berguna, di mana industri perkhidmatan ini di mana-mana negeri juga sebenarnya adalah satu bahagian besar yang menyumbang kepada KDNK mereka.
Yang Berhormat Haji Mohimin semasa menyentuh perkara berkenaan membangkitkan bahawa terdapat perkhidmatan pendaftaran syarikat sendirian berhad yang mencapai bayaran $2,500 hingga $3,000 untuk proses pendaftaran berbanding sendiri mendaftarkan ke ROCBN dengan bayaran hanya $300.