Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 DIS – Nilai-nilai teras Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), disiplin serta kepentingan untuk terus mengekalkan ketahanan fizikal, mental dan kerohanian sebagai asas dalam menjalankan tugas sebagai anggota ABDB, ditekankan oleh Pemangku Pemerintah, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Kapten Haji Mohamad Sarif Pudin bin Matserudin, dalam ucapannya di Upacara Perbarisan Tamat Latihan bagi Rekrut Lelaki Pengambilan ke-175 dan Rekrut Wanita Pengambilan ke-59 ABDB yang berlangsung di Padang Kawad, Penanjong Garison, hari ini.
Kapten Haji Mohamad Sarif Pudin mengingatkan para rekrut mengenai peranan penting mereka dalam mempertahankan kedaulatan, keamanan dan keselamatan Negara Brunei Darussalam.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua rekrut atas pencapaian mereka dan menyeru mereka untuk sentiasa menunjukkan tahap profesionalisme dan integriti yang tinggi dalam menjalankan tugas sebagai anggota ABDB.
Pada majlis berkenaan, Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB) mencatatkan satu detik bersejarah dengan kejayaan seramai 124 orang rekrut lelaki pengambilan ke-175 dan seramai 46 orang rekrut wanita pengambilan ke-59 yang telah menamatkan latihan asas ketenteraan mereka serta diraikan dalam upacara perbarisan tamat latihan bagi pencapaian dan ketabahan mereka sepanjang tempat latihan asas mereka.
Turut hadir pada upacara berkenaan ialah Timbalan dan Pemangku Timbalan Pemerintah Angkatan Tentera, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, anggota-anggota dari ABDB dan ahli-ahli keluarga para rekrut yang diraikan.
Upacara bermula dengan pemeriksaan perbarisan oleh Kapten Haji Mohamad Sarif Pudin, diikuti dengan perbarisan berjalan lalu yang penuh semangat, memperlihatkan disiplin dan keterampilan yang diterapkan kepada para rekrut sepanjangan latihan mereka.
Sebagai penghargaan kepada prestasi cemerlang sepanjang latihan, anugerah-anugerah telah disampaikan kepada rekrut-rekrut dan jurulatih-jurulatih yang menunjukkan kecemerlangan dalam kategori masing-masing.
Bagi Rekrut Lelaki Pengambilan ke-175, Rekrut Terbaik Keseluruhan disandang oleh Rekrut (U) Muhammad Harith bin Dahlan, Kemahiran Ketenteraan Terbaik disandang oleh Rekrut Mohammad Syazwan bin Mohammad Khairulannuar, Latihan Senjata Ringan Terbaik disandang oleh Rekrut Mohd Shahezzul bin Sariman dan Latihan Jasmani Terbaik disandang oleh Rekrut Muhammad Illiya Wafiuddin bin Abdullah Romie.
Selain itu, Anugerah Ketua Seksyen Terbaik diberikan kepada Koperal Muhamad Far’an bin Hamdani@Lileysurayani serta Platun Sarjan Terbaik disandang oleh Koperal Mohammad Khairul Azwan bin Abdul Hamid atas kepimpinan dan komitmen yang cemerlang sepanjang latihan.
Bagi Rekrut Wanita Pengambilan ke-59, Rekrut Terbaik Keseluruhan disandang oleh Rekrut Multazamah Siti Zuhairah binti Zulkifli, Kemahiran Ketenteraan Terbaik disandang oleh Rekrut Nuha Nadzirah binti Abdullah Mohd Salleh, Latihan Senjata Ringan Terbaik disandang oleh Rekrut Ummi Shuheida binti Mohd Nurfadillah dan Latihan Jasmani Terbaik disandang oleh Rekrut Nursyafiqah Nabilah binti Mohammad Haslan.
Penghargaan Anugerah Ketua Seksyen Terbaik juga diberikan kepada Lans Koperal Farah Izzah @ Fatin Faizah binti Samat.
Upacara diakhiri dengan bacaan doa oleh Kapten Abdul Mu’iz Azizi bin Zulkifli dari Jabatanarah Agama ABDB (JA’MAAT).
Upacara Perbarisan Tamat Latihan itu bukan sahaja menandakan berakhirnya latihan asas ketenteraan, tetapi juga meraikan transformasi para rekrut menjadi anggota ABDB yang berdisiplin dan profesional.
Mereka kini bersedia untuk menyumbang kepada keselamatan, kestabilan, dan kedaulatan Negara Brunei Darussalam.
Sebagai anggota tentera yang baharu menamatkan latihan asas, mereka membawa bersama semangat, kebanggaan dan legasi khidmat bakti ABDB, untuk meneruskan dedikasi mereka kepada negara tercinta.
