Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Pihak pengurusan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) hendaklah mengambil perhatian serius terhadap peruntukan undang-undang, peraturan-peraturan kerajaan dalam urus tadbir serta pengurusan kewangan supaya ia dapat dikendalikan dengan lebih teratur dan penuh accountability.
Selain itu, tahap integriti, etika kerja dan akhlak pihak atasan dan semua warga KUPU SB hendaklah jangan dipandang ringan khasnya betapa mustahaknya melaksanakan tugas dengan jujur, bertanggungjawab, dedikasi dan profesional tanpa membuka ruang untuk berpaling kepada perbuatan-perbuatan keji seperti mencuri, rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa.
Perkara tersebut ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan mengurniakan titah ketika berangkat mengadakan lawatan tidak berjadual ke KUPU SB, kelmarin.
Baginda turut bertitah KUPU SB tidak dinafikan telah melahirkan ramai para guru agama yang terlatih lagi berilmu, namun bagi memastikan visi dan misi KUPU SB sentiasa berada di landasan yang betul maka acuannya hendaklah dijaga, bersih, teratur dan mengikuti peraturan.
Baginda dalam titahnya juga mengimbas mengenai siri lawatannya pada tahun 2020 ke KUPU SB dan telah menemukan beberapa kelemahan yang perlu dibaiki dengan segera.
“Beta berharap selepas lawatan tersebut, semua kelemahan khasnya mengenai kebajikan dan hal ehwal penuntut dan modul pembelajaran di KUPU SB telah pun diperbaiki.
“Kali ini Beta terpanggil untuk membuat lawatan sekali lagi, masih banyak kelemahan dilihat berlaku khasnya dalam perkara urus tadbir dan pengurusan kewangan KUPU SB,” titah Baginda.
Baginda seterusnya menekankan kelemahan itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja khasnya oleh Majlis KUPU SB dan pihak pengurusan.
Sebagai sebuah institusi yang berlandaskan agama Islam, seharusnya nilai-nilai murni dan hukum-hakam Islam mesti dipraktikkan dalam semua urusan pentadbiran termasuk amalan sekalian warga KUPU SB.
“Warga KUPU SB tidak boleh curang walaupun sekecil mana benda seperti telefon bimbit tanpa mengira sama ada ia barang baharu atau lama akan dianggap ia barang curi dan hukumannya haram jika tanpa keizinan pemiliknya,” tegas Baginda lagi.
Dalam pada itu, Baginda turut bertitah, dengan hasil pengauditan ke atas KUPU SB bagi tahun-tahun kewangan 2020-2021, 2021-2022 dan 2022-2023 sehingga 30 September 2023 telah dibincangkan oleh pihak Jabatan Audit bersama pihak KUPU SB dalam Exit Meeting di antara kedua belah pihak. Tetapi hingga setakat ini, KUPU SB masih saja belum memaklumkan mengenai perkembangan cadangan-cadangan yang telah dibuat oleh pihak Jabatan Audit itu.
“Juruaudit Agong ada mencadangkan supaya pertemuan-pertemuan Jabatan Audit tersebut dimaklumkan juga kepada Menteri Hal Ehwal Ugama tetapi tidak diketahui adakah Ra’es KUPU SB memaklumkannya atau tidak.
“Beta melihat penemuan-penemuan audit ini tidak dapat dipandang ringan kerana ia menentukan kualiti perkhidmatan, sifat amanah dan ketulusan sumber tenaga manusia,” tegas Baginda.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menyentuh tentang proses pemilihan syarikat-syarikat bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaik pulih bangunan KUPU SB.
“Beta ingin tahu adakah wajar untuk menggunakan syarikat yang sama secara berulang kali sedangkan harga dituntut oleh syarikat berkenaan tidak berpatutan atau jauh lebih mahal jika dibandingkan dengan schedule of rate yang digunakan oleh kementerian dan jabatan sebagai rujukan atau perbandingannya.
“Kaedah ini tentu sahaja menimbulkan kecurigaan yang sepatutnya dipersoalkan dan disiasat oleh pihak atasan KUPU SB lebih-lebih lagi jika perkhidmatan yang diberikan kurang berkesan kerana syarikat yang dilantik tidak mempunyai kepakaran dan kelayakan untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.
“Dari ini, timbul persoalan mengenai tahap integriti pegawai dan kakitangan yang berkenaan sama ada mereka benar-benar bersikap jujur atau sebaliknya. Pegawai dan kakitangan KUPU SB yang bertanggungjawab bagi urusan-urusan kewangan dan menjalankan proses-proses pemilihan sebut harga mestilah memahami dan mengikut peraturan kewangan yang sedia ada,” titah Baginda.
Menurut Kebawah Duli Yang Maha Mulia, terdapat kebiasaan di mana syarikat-syarikat yang akan ditawarkan untuk melaksanakan satu tugasan akan diminta untuk menyediakan sesuatu yang diistilahkan sebagai sedekah atau wakaf.
“Beta melihat permintaan seperti ini hanya akan menonjolkan gambaran negatif, bahawa mana-mana syarikat yang akan dilantik mestilah bersedia untuk memberikan sedekah atau wakaf yang diminta,” tegas Baginda. Pada pandangan Baginda, itu bukan sedekah atau wakaf tetapi satu bentuk peras ugut secara halus berunsur rasuah.
“Budaya meminta-minta seperti ini, jika benar berlaku hendaklah segera dihentikan kerana ia bukan sahaja memburukkan imej KUPU SB tetapi juga kerajaan Beta.
“Jika amalan sedemikian masih diteruskan juga, maka pada hemat Beta, agensi-agensi penguat kuasa perlu mengambil tindakan undang-undang,” tegas Baginda lagi.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menekankan bahawa peraturan-peraturan asas mesti diikut walaupun sekecil mana peraturan itu, misalnya dalam hal pembelian barang-barang keperluan pejabat adalah perlu untuk dipastikan barang yang akan dibeli itu masih relevan dan boleh digunakan. Jika tidak lagi relevan, maka jangan dibeli, jika dibeli juga menjadi satu pembaziran. Selain itu, pembelian atau pinjaman barangan keperluan pejabat juga perlu direkodkan dalam inventori agar mudah dijejaki penggunaannya serta di mana keberadaan.
“Beta difahamkan banyak barang belian yang tidak dapat dikesan keberadaan, ke arah manakah hilangnya barang-barang tersebut. Bukankah ini boleh menimbulkan kecurigaan terutama mengenai prosedur-prosedur pembelian penyimpanan dan pengawasan harta benda kerajaan tersebut,” soal Baginda.
Perkara seterusnya yang dibangkitkan adalah mengenai garis panduan penganugerahan dermasiswa termasuk pengecualian daripada bayaran yuran pengajian bagi pelajar asing yang telah diguna pakai.
Justeru itu, Baginda bertitah menyarankan sepatutnya garis panduan itu perlu mendapat kelulusan daripada Majlis KUPU SB terlebih dahulu, mana tahu ada yang akan dibaiki menurut pendapat majlis tersebut.
“Pemberian dermasiswa daripada pelajar asing termasuk kelulusan bagi pengecualian daripada bayaran yuran pengajian juga tidak dibincangkan melalui Majlis KUPU SB tetapi hanya dalam perjumpaan mingguan, pentadbiran yang dipengerusikan oleh Ra’es KUPU SB sahaja.
“Ini juga menunjukkan pengurusan tidak teratur sehingga mengakibatkan tunggakan yuran pengajian di KUPU SB telah mencecah lebih setengah juta ringgit,” tegas Baginda.
Oleh yang demikian, Baginda turut bertitah meminta penjelasan mengenai penganugerahan dermasiswa yang telah dibuat melalui proses tapisan keselamatan daripada agensi-agensi penguat kuasa kerajaan, sedangkan perkara itu sangat penting berkaitan dengan keselamatan negara.
“Beta difahamkan pihak pengurusan KUPU SB sedang dalam perancangan untuk mewujudkan satu sistem pusat bagi pengurusan pelajar, yang antara fungsi sistem itu untuk memudahkan pihak pengurusan memantau dan merekodkan hal ehwal pelajar dari mula mereka masuk sehingga menamatkan pengajian, ini termasuk modul-modul yang berkaitan dengan pengurusan akademik kokurikulum, kewangan dan penilaian,” titah Baginda dengan menekankan persoalan setakat manakah sudah perkara itu dilaksanakan.
Berkenaan pembelajaran pula, Baginda bertitah dengan menyatakan, ada mendengar desas-desus sebilangan pelajar yang merasa tertekan dalam waktu pembelajaran yang padat, hingga ada yang berniat untuk menamatkan sahaja pengajian, begitu juga dengan elaun penuntut-penuntut KUPU SB yang pernah tertunggak selama beberapa bulan.
“Adakah keluhan mengenai waktu pembelajaran yang padat serta elaun penuntut yang pernah ditunggakkan selama beberapa bulan ini benar? Apakah punca berlakunya perkara ini.
“Pernahkah terlintas di fikiran mengenai penuntut yang semata-mata hanya bergantung kepada elaun ini untuk digunakan pembelajaran mereka dan adakah ia juga melibatkan bagi penuntut dermasiswa dari luar negara,” tegas Baginda.