Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jalankan tugas dengan jujur, ikhlas, terbaik

    Oleh Syahmi Hassan

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Matlamat bekerja bukanlah untuk menerima kurnia pingat, namun ia sebagai dorongan dan motivasi kepada pegawai dan kakitangan agar bekerja lebih gigih dan tekun dalam apa jua tugasan yang dipertanggungjawabkan.

    Penerima Pingat Indah Kerja Baik (P.I.K.B), Pengiran Nur Suzanawati binti Pengiran Haji Abas dan rakannya, Dayang Asmah binti Haji Majid yang bertugas di Pejabat Peguam Negara menekankan perkara itu ketika ditemu bual selepas menerima pingat mereka.

    Kedua-duanya bertugas sebagai timbalan penasihat undang-undang kanan semenjak 2004, melafazkan rasa syukur, kegembiraan dan rasa dihargai selepas penat lelah mereka selama ini mendapat pengiktirafan.

    Menurut mereka, tiada keazaman di dada untuk mendapatkan pingat berkenaan, namun dalam tugasan mereka bekerja secara ikhlas, jujur dan mencuba melakukan yang terbaik bukan sahaja untuk jabatan dan kementerian malahan untuk negara.

    “Kami menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pengurniaan pingat yang kami terima hari ini,” tambah mereka.

    Dayang Sabrina (dua, kanan) bersama empat orang rakan sekerjanya dari Kementerian Pertahanan.
    Dayang Sabrina (dua, kanan) bersama empat orang rakan sekerjanya dari Kementerian Pertahanan.
    Pengiran Nur Suzanawati dan Dayang Asmah menerima P.I.K.B atas tanggungjawab yang dipikul.
    Pengiran Nur Suzanawati dan Dayang Asmah menerima P.I.K.B atas tanggungjawab yang dipikul.
    Awang Muhammad Nizam bersama rakan sekerjanya ketika ditemui Media Permata.
    Awang Muhammad Nizam bersama rakan sekerjanya ketika ditemui Media Permata.
    Dayang Salinah (kanan) dan rakannya menerima P.I.K.B yang mereka terima kelmarin.
    Dayang Salinah (kanan) dan rakannya menerima P.I.K.B yang mereka terima kelmarin.

    Manakala Awang Muhammad Nizam bin Haji Ja’far, 45, yang merupakan penyelenggara teknikal di Pangkalan Tentera Laut Muara dan penerima pingat P.I.K.B turut mengongsikan rasa gembira atas pengurniaan pingat yang tidak pernah diduganya itu.

    “Terima kasih atas pilihan orang atasan yang memberikan penilaian terhadap kami sebagai tenaga awam di Jabatan Tentera Laut, penilaian itu melayakkan kami untuk menerima pingat ini,” katanya. Beliau juga menjunjung kasih kehadapan majlis Baginda Sultan atas kurniaan itu dan ia akan dijadikan motivasi dan pembakar semangat dalam menjalankan tugas dan menjadi contoh kepada orang-orang bawahan, tambahnya.

    Seorang lagi penerima pingat yang sama, Dayang Salinah binti Salleh dari Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, menghargai pengiktirafan ke atas perkhidmatannya selama 10 tahun dalam kerajaan dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana memberikan peluang kepadanya melakukan tugasan yang menakjubkan itu.

    Beliau turut memberikan nasihat kepada mereka yang ingin menerima penghargaan agar melakukan kerja bersungguh dan bersemangat dalam apa sahaja yang dilakukan, bukan hanya untuk diri sendiri malah demi negara.

    Lafaz syukur juga diluahkan oleh Dayang Sabrina binti Hamidon dari Jabatan Arah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja, Kementerian Pertahanan atas kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang diterimanya hari ini. Menurut beliau, selama 11 tahun bekerja, beliau menumpukan sepenuh minat dan usaha dalam kerja dan tugasan yang diberikan. Dengan melakukannya, beliau pasti lambat laun akan menerima ganjaran dan penghargaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda