Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jalil Hamid bergantung bantuan orang ramai

    Hampir tiga tahun tidak terlibat dengan mana-mana penggambaran, pelakon Malaysia, Jalil Hamid memberitahu beliau kini hanya bergantung kepada bantuan orang ramai sebagai sumber pendapatan.

    Memetik dari mStar, Kata Jalil atau Abdul Jalil Abdul Hamid, 66, bantuan tersebut bukan sahaja untuk membeli ubat-ubatan yang menelan belanja lebih RM1,000 setiap bulan, malah wang itu juga digunakan untuk perbelanjaan harian.

    “Terus terang saya katakan dalam tempoh tiga tahun ini memang tiada pendapatan. Sumbangan yang diberikan orang itulah jadi lepaskan kepayahan,” katanya kepada mStar.

    Jalil ditemui ketika majlis Selebriti Bersama Mufti yang dianjurkan oleh pasangan selebriti Diana Rafar dan Zamarul Hisham di kediaman mereka di Shah Alam, Selangor pada Khamis.

    Jalil sebelum ini pernah menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang akibat masalah jantung.

    Beliau yang kini masih dalam proses rawatan bagaimanapun belum mendapat keputusan sebenar penyakit yang dialami.

    “Tahun lalu saya pernah jalani pembedahan dan sejak itu selalu rasa sesak nafas. Doktor kata berkemungkinan jantung saya bengkak. Namun masih belum dapat keputusan sebenar lagi.

    “Dalam tempoh tiga tahun ini tahap kesihatan saya memang kurang baik. Namun sekarang beransur pulih dan ada sedikit tenaga untuk bergerak,” ujarnya.

    Pelakon drama Ayahanda ini juga memberitahu beliau masih mahu untuk terus berlakon sekiranya tahap kesihatan mengizinkan.

    Ini kerana beliau enggan bergantung harap kepada enam orang anaknya kerana memahami kesukaran hidup mereka di bandar.

    “Saya tidak mahu susahkan anak-anak. Saya tahu betapa sukarnya untuk menjalani kehidupan sekarang ini. Sewa rumah di bandar pun agak mahal.

    “Kalau ditanya tentang berlakon mestilah saya masih mahu teruskan. Sebagai seorang pelakon sukar untuk saya tinggalkan kerjaya ini.

    “Mungkin sekarang ini saya direhatkan. Produksi pun tidak panggil berlakon kerana mereka tahu keadaan saya,” jelasnya.

    Pada majlis berkenaan, Jalil turut menerima sumbangan daripada Lembaga Zakat Selangor selain bantuan rakan-rakan artis yang diserahkan melalui Diana dan Zamarul. – Agensi

    Jalil Hamid berharap untuk kembali sihat untuk terus berlakon. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda