Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Pertubuhan WARGAMAS Brunei dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) akan terus bekerjasama untuk menjalinkan hubungan sebagai rakan strategik dalam berbagai bidang khususnya dalam aktiviti atau program keagamaan yang menjurus kepada pemedulian golongan warga emas di negara ini.
Perkara itu sama-sama dipersetujui semasa majlis kunjungan hormat delegasi Pertubuhan WARGAMAS Brunei kepada Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar di Bangunan KHEU, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pertubuhan berkenaan, di sini, hari ini, rombongan itu diketuai oleh Yang Di-Pertua Pertubuhan WARGAMAS Brunei, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don yang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kesediaan penerimaan rombongan kepada KHEU yang sentiasa memberi sokongan padu dalam program keagamaan anjuran Pertubuhan WARGAMAS Brunei.
Majlis juga diteruskan dengan mesyuarat bersama Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohd Rosli bin Haji Ibrahim dan pegawai-pegawai kanan kementerian itu yang berlangsung di Dewan Multaqa, KHEU.
Mesyuarat itu antara lain membincangkan usaha kedua-dua belah pihak untuk meningkatkan dan memajukan warga emas di negara ini di samping meneliti cara untuk menjalin kerjasama dalam program-program yang akan dikendalikan oleh Pertubuhan WARGAMAS Brunei pada masa akan datang.
Pertubuhan WARGAMAS Brunei telah ditubuhkan bagi menyatukan perpaduan golongan warga emas di negara ini dalam sama-sama berperanan untuk menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara.
