Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jalin kerjasama serantau tangani ekstremisme

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Dua wakil belia dari Young Professionals Network Brunei (YPN Brunei), Awang Mohd Khairul Nazri bin Mustab dan Dayang Yura Sri Nur’ain Qaisara binti Abdullah Yura Saiful Bahrin, hari ini berlepas ke Kuala Lumpur bagi menyertai Mesyuarat Serantau Pertama Inisiatif Tindakan Belia untuk Mencegah Keganasan dan Ekstremisme di Asia Tenggara, Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNODC).

    Mesyuarat tersebut akan berlangsung esok hingga 7 November di mana ia mengumpulkan pemimpin-pemimpin belia serta wakil-wakil masyarakat sivil dari rantau untuk membincangkan strategi dalam menentang ekstremisme keganasan dan memperkasakan belia sebagai agen perubahan.

    Mesyuarat pertama itu dianjurkan oleh UNODC dengan kerjasama Pusat Serantau untuk Memerangi Keganasan di Asia Tenggara (SEARCCT).

    Antara lain tujuan mesyuarat tersebut adalah untuk mempromosikan kerjasama serantau dan pembelajaran rakan sebaya dalam kalangan pemimpin muda, di samping
    meneroka cara untuk memerangi penyebaran kandungan ekstremis yang ganas dan pengambilan rekrut di media sosial serta platform permainan.

    Selain berkongsi pandangan tentang bagaimana belia boleh secara aktif menyumbang untuk membina ketahanan dalam komuniti mereka.

    Perbincangan itu selaras dengan matlamat Jaringan Asia Tenggara untuk Pencegahan Ekstremisme Keganasan (SEAN-PVE), yang menekankan pendekatan kolaboratif yang melibatkan kerajaan dan masyarakat sivil untuk menangani punca yang mendasari ekstremisme.

    Mesyuarat tersebut akan diakhiri dengan dokumen hasil yang merangkum penemuan utama, pelajaran yang dipelajari, dan cadangan tindakan untuk melaksanakan inisiatif yang dipimpin oleh belia dalam memupuk budaya toleransi serta keamanan di seluruh Asia Tenggara.

    Awang Mohd Khairul Nazri dan Dayang Yura Sri Nur’ain Qaisara bergambar sama sebelum berlepas ke Kuala Lumpur. – GAMBAR SERAHAN YPN BRUNEI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda