Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jalin, tingkat persefahaman pendidikan antara dua negara

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Seramai 27 orang guru besar dari 15 buah Sekolah Daerah Hulu Langat, Selangor, Malaysia, mengakhiri lawatan di negara ini dengan mengunjungi Sekolah Rendah Pehin Dato Jamil di Kampong Ayer dan Sekolah Rendah Dato Ratna Haji Muhammad Jaafar (DRHMJ) Kiarong, hari ini.

    Rombongan dari Majlis Guru-guru Besar Sekolah Daerah Hulu Langat itu diketuai oleh Yang Di-Pertua MGB Sekolah Daerah Hulu Langat, Mohd Jamil bin Yahya dan Timbalan MGB, Hajah Roslina binti Hashim.

    Lawatan selama dua hari dari 27 hingga 28 Februari dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam itu bertujuan untuk mewujudkan jaringan antarabangsa di bidang pendidikan antara sekolah-sekolah di Malaysia khususnya di Daerah Hulu Langat dengan sekolah-sekolah di negara ini. Selain itu, lawatan itu juga bertujuan untuk memahami dan mempelajari fungsi serta pengurusan sekolah berkenaan dengan penerangan dan taklimat yang disampaikan oleh wakil dari Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Dayang Syahira binti Dato Seri Setia Haji Yusof.

    Gambar ramai bersama rombongan dari Sekolah Daerah Hulu Langat, Selangor, Malaysia.
    Gambar ramai bersama rombongan dari Sekolah Daerah Hulu Langat, Selangor, Malaysia.

    Di akhir lawatan tersebut, satu persefahaman jaringan telah ditandatangani antara pihak sekolah Daerah Hulu Langat dengan Sekolah Rendah Pehin Dato Jamil dan Sekolah Rendah DRHMJ, Kiarong bagi kerjasama di masa akan datang.

    Persefahaman itu dihasratkan akan dapat membantu meningkatkan kecemerlangan sekolah di antara kedua buah pihak, sekali gus dapat menjalinkan hubungan di antara dua buah Negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda