BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Projek Jalinan Kasih Ke-17 diteruskan lagi dengan Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim dengan kerjasama Radio Televisyen Brunei (RTB) dan Makan Ceria Sdn Bhd (McDonald’s Brunei) yang diadakan di McDonald’s Jerudong Park Drive-Thru, kelmarin.
Hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Dasar dan Perancangan & Pemangku Ketua Pemasaran dan Promosi, RTB, Awang ‘Izzul Azam bin DSP Haji Mohd Roselan, dan Timbalan Pengurus Am, Makan Ceria Sdn Bhd (McDonald’s Brunei), Haji Muhammad Munir Syafiq bin Dato Paduka Haji Metassan.
Sempena bulan Ramadan tahun ini, seramai 30 orang anak-anak yatim dijemput untuk berbuka puasa bersama-sama.
Projek Jalinan Kasih merupakan tanggungjawab sosial korporat RTB dalam suasana masyarakat Negara Brunei Darussalam menunaikan ibadah puasa dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Seperti lazimnya, projek disasarkan kepada golongan asnaf, warga emas, orang kelainan upaya, golongan mualaf, anak-anak yatim atau ibu tunggal.
Pelaksanaan projek adalah bertepatan dengan slogan RTB iaitu ‘Sentiasa Bersama Biskita’ yang bukan hanya terbatas menyiarkan rancangan-rancangan melalui rangkaian radio dan saluran televisyen, tetapi juga menyantuni secara sua muka dengan masyarakat di keempat-empat daerah.