Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jam dinding minimalis curi perhatian

    Oleh Amri HTZ –

    Menghiasi ruang dinding kediaman penting bagi memastikan ia tidak terlalu kosong yang menyebabkannya tampak ‘suram’.

    Pelbagai bentuk perhiasan boleh dipilih sama ada ayat-ayat berbingkai, gambar, paparan seni dan sebaginya. Salah satu yang telah menjadi kewajipan untuk dimiliki setiap pemilik rumah ialah jam. Selain berfungsi sebagai perhiasan, ia juga merupakan alat penyata masa
    yang penting dalam kehidupan.

    Apa yang perlu ada?

    Papan lapis 10mm
    Sekeping papan
    Mekanisme jam
    Gam kayu
    Varnis
    Mesin jig
    Alat gerudi
    Kertas pasir
    Pahat kayu
    Mesin router
    Skru

    LANGKAH PERTAMA PEMBUATAN

    Papan yang tersedia terlebih dahulu diukur dan dipotong dengan ukuran diperlukan iaitu 11 x 4 x 1 inci. Terdapat dua pilihan untuk langkah ini, meratakan dan mengetam permukaan kayu terpakai bagi mendapatkan permukaan lebih bersih dan baharu atau hanya membiarkannya dalam bentuk asal untuk mendapatkan bentuk rustic dan berumur. (gambar 2)

    Setelah memotongkan dengan ukuran diperlukan, salah satu sudut hujung kayu akan dipotongkan dengan bentuk 45 darjah. Permukaan tersebut kemudiannya akan digosok sehingga membulat menggunakan kertas pasir berukuran 80 grit. (gambar 3)

    Sementara bahagian hujung kayu yang satu lagi akan dipotongkan dengan bentuk separa bulatan. Langkah pemotongan boleh dilakukan menggunakan mesin jig diikuti dengan menggosoknya menggunakan kertas pasir. Bagi mendapatkan bentuknya, tiru bahagian luar sesuatu benda bulat yang dijadikan sebagai templat. (gambar 4)

    Gambar 1. – Gambar oleh Technocraft Studio
    Gambar 2. – Gambar oleh Technocraft Studio
    Gambar 3. – Gambar oleh Technocraft Studio
    Gambar 4. – Gambar oleh Technocraft Studio
    Gambar 5. – Gambar oleh Technocraft Studio
    Gambar 6. – Gambar oleh Technocraft Studio
    Gambar 7. – Gambar oleh Technocraft Studio
    Gambar 8. – Gambar oleh Technocraft Studio
    Gambar 9. – Gambar oleh Technocraft Studio
    Gambar 10. – Gambar oleh Technocraft Studio
    Gambar 11. – Gambar oleh Technocraft Studio
    Gambar 12. – Gambar oleh Technocraft Studio

    Langkah seterusnya ialah mereka ruang untuk mekanisme jam ditempatkan. Pada bahagian hujung kayu berbentuk separa bulatan, ukuran mekanisme jam akan ditandakan pada permukaan papan kemudian diukir kedalamannya sesuai ketebalan mekanisme digunakan. Langkah ini boleh dilakukan menggunakan mesin router dengan straight bit atau hanya menggunakan pahat kayu. (gambar 5)

    LAKAR DAN POTONG BENTUK BULATAN

    Papan lapis tersedia untuk muka jam akan dipotong menggunakan mesin jig. Terlebih dahulu lakar bentuk diperlukan menggunakan alat kompas atau templat bersesuaian berdiameter 11 inci. Bagi memudahkan langkah pemotongan, alat jig untuk mengekalkan kedudukan mesin jig akan digunakan. Tebuk bahagian tengah kayu bagi membolehkan mata mesin jig dimasukkan. (gambar 6)

    Kayu berbentuk bulat yang dipotong kemudiannya akan dipotongkan lagi dengan bentuk bulat yang mempunyai ruang kosong pada bahagian tengahnya. Ini akan menghasilkan lebar rangka untuk muka jam berukuran ¾ inci. (gambar 7)

    Hasil potongan yang tidak rata kemudiannya diperbaiki menggunakan kertas pasir. Selain itu permukaan kayu yang terkopek akan dibuangkan menggunakan pahat memandangkan papan lapis terbuat daripada beberapa lapisan kayu. Langkah ini dilakukan bagi mendapatkan permukaan yang sekata secara keseluruhan. (gambar 8)

    Bagi membulatkan sudut luaran dan dalaman rangka muka jam, mesin router akan digunakan. Mata mesin berbentuk corner round akan digunakan bagi menghasilkannya.

    Selain itu, penggunaan kertas pasir juga boleh mendapatkan hasil yang hampir sama namun lebih memakan masa. (gambar 9)

    BENTUK TANGAN JAM GUNA LEBIHAN KAYU

    Lebihan potongan kayu daripada papan sebelumnya boleh digunakan untuk menghasilkan kedudukan penanda jam (untuk pukul 12, 3 dan 6 sahaja). Bentuknya lebih kurang dengan bentuk kayu di mana mekanisme jam ditempatkan. Tebal penanda jam diperlukan lebih kurang 4mm. (gambar 10)

    Bagi menempatkan kayu penanda jam, kedudukannya terlebih dahulu ditandakan pada permukaan muka jam sebelum melakukan ukiran bagi ruang ia dimasukkan.

    Langkah ini bagi memastikan kedudukannya selaras dengan permukaan kayu berbentuk bulat tersebut. (gambar 11)

    Langkah terakhir ialah mengekalkan kedudukan muka jam pada papan mekanisme jam ditempatkan. Terlebih dahulu tandakan bahagian tengah papan yang akan mewakili arah jam 9. Setelah itu tetapkan melalui bahagian belakang menggunakan skru selain gam kayu pada permukaan cantuman untuk memperkuatkannya. Dengan hasil rekaan yang cukup mudah namun bermanfaat ini, ia kini boleh digantungkan untuk menghiasi dinding rumah dan menyatakan masa. (gambar 12)

    Tip rekaan

    Gunakan gam kayu bagi setiap cantuman dan kekalkan secara sementara menggunakan pengapit sehingga gam mengering.

    Selain kompas, menggunakan tali yang diikat dengan pen atau pensel pada bahagian hujungnya juga boleh melakar bentuk bulatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda