LONDON, 17 NOV – Sebuah jam saku emas yang diberikan kepada kapten bot yang menyelamatkan lebih 700 penumpang kapal Titanic telah dijual pada harga £1.56 juta (AS$2 juta), lapor PA Media/dpa.
Ia adalah jumlah tertinggi yang pernah dibayar untuk memorabilia Titanic, menurut rumah lelongan Henry Aldridge and Son, dari Devizes, Wiltshire, kelmarin dan ia dibeli oleh seorang pengumpul persendirian dari Amerika Syarikat (AS).
Rekod sebelum ini dicatatkan pada April apabila satu lagi jam poket emas, yang ditemukan daripada mayat lelaki terkaya di kapal Titanic, John Jacob Astor, dijual pada harga £1.175 juta di rumah lelong yang sama.
Jumlah jualan itu termasuk yuran dan cukai yang dibayar oleh pembeli, menurut pelelong.Astor berumur 47 tahun ketika dia tenggelam dengan kapal itu pada 1912, selepas melihat isteri baharunya Madeleine menaiki bot penyelamat.
Jam saku yang dijual kelmarin diberikan kepada Kapten Rostron oleh Puan Astor dan dua balu lain ahli perniagaan berprofil tinggi dan kaya, yang juga hilang apabila kapal itu tenggelam.
Jam saku 18 karat keluaran Tiffany & Co itu mempunyai catatan, “Disampaikan kepada Kapten Rostron dengan rasa terima kasih dan penghargaan yang tulus daripada tiga orang yang terselamat daripada Titanic 15 April 1912 Puan John B Thayer, Puan John Jacob Astor dan Puan George D Widener.”
Kapten Rostron menerima hadiah daripada isteri Astor semasa makan tengah hari di rumah agam keluarga itu di Fifth Avenue, New York, menurut rumah lelong.
Pelelong Andrew Aldridge berkata, “Ia disampaikan terutamanya sebagai rasa terima kasih atas keberanian Rostron dalam menyelamatkan nyawa mereka, kerana tanpa Rostron, 700 orang itu tidak akan selamat.” – Bernama