Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Jam tangan mewah terpakai semakin diminati

    ZURICH – Jam tangan Switzerland mendapat permintaan tinggi pada masa kini, tetapi jualan jam tangan terpakai juga berkembang pesat, didorong oleh pembeli Generasi Z yang mahukan barangan mewah namun pada masa sama mementingkan kelestarian.

    Pasaran jam tangan terpakai global dianggarkan mencecah hampir 20 bilion franc Swiss (AS$21.7 bilion) dan boleh mencapai 35 bilion franc menjelang 2030, menurut kajian pada Oktober oleh syarikat pengauditan dan perunding gergasi, Deloitte.

    Berdasarkan sejarah, kelompok pengumpul yang mencari jam tangan yang jarang ditemui di pasaran lelong dan terpakai semakin berkembang dengan pertambahan tapak jualan dalam talian yang mengesahkan ketulenan, malah melibatkan pengeluar jam tangan itu sendiri.

    “Pada masa kini, timbulnya kesedaran di mana kita perlu berbelanja dengan lebih bertanggungjawab,” kata Fabienne Lupo, bekas ketua Yayasan Horologi Tinggi, yang menganjurkan pameran jualan jam tangan mewah terpakai di Geneva pada November.

    Acara itu dihadiri oleh firma gergasi lelongan dalam talian, eBay, platform jualan jam tangan, Watchbox, dan jenama Switzerland seperti Zenith.

    Bukan baharu lagi

    Lupo berkata kegilaan terhadap jam tangan terpakai boleh dilihat melalui pilihan pengguna Milenium (mereka yang lahir antara 1980 dan akhir 1990an) dan Generasi Z (lahir antara 1997 dan 2010) yang ‘sangat mengambil berat tentang masa depan planet ini, dan tidak mahu lagi membeli yang baharu’.

    “Terdapat juga fesyen untuk objek vintaj yang tidak akan awda dapati di mana-mana,” katanya.

    Tambahan pula, membeli jam tangan mewah Switzerland yang baharu semakin sukar, kerana pasaran yang berkembang pesat telah mengakibatkan senarai menunggu yang lebih lama.

    Eksport jam tangan Switzerland mencecah rekod baharu pada 2022, meningkat 11.4 peratus tahun ke tahun kepada 24.8 bilion franc Swiss, umum Persekutuan Industri Jam Tangan Swiss baru-baru ini.

    “Kemudian, pendigitalan telah dipercepatkan oleh wabak COVID-19,” kata Lupo kepada AFP. Pertumbuhan dalam pasaran jam tangan terpakai berkembang sedemikian rupa sehinggakan platform dalam talian British, Subdial telah membangunkan indeks yang menjejaki 50 model yang paling banyak didagangkan.

    Harga purata jatuh daripada rekod tertinggi 45,000 franc Swiss pada Februari 2022 kepada 35,000 franc pada September, yang digelar oleh Deloitte sebagai ‘pembetulan’ dan bukannya tanda bahawa pasaran sedang menyusut.

    Platform jualan untuk jam tangan terpakai (CPO) dalam talian semakin meningkat, dengan sektor itu masih menarik minat peserta baharu, termasuk platform dari Amerika Syarikat (AS), Bezel, yang menyatakan bahawa bekas presiden Disney, Michael Ovitz, pelawak, Kevin Hart dan penyanyi, John Legend merupakan antara pelaburnya.

    Syarikat gergasi mewah, Richemont, yang memiliki jenama Cartier, IWC dan Piaget, menceburi bidang itu seawal 2018, dengan membeli platform British, Watchfinder.

    Rolex juga mengambil risiko pada bulan Disember, memerangi penjualan jam tangan palsu dengan melancarkan program CPO bersama penjual runcit Switzerland, Bucherer, yang mengesahkan kempen tersebut.

    Program ini ditubuhkan di enam negara, termasuk Britain dan Perancis, dengan tujuan untuk melanjutkannya ke Amerika Syarikat pada masa hadapan.

    Jaga penampilan

    “Pengeluar jam tangan biasanya bimbang tentang pasaran sekunder kerana ia berkait rapat dengan pasaran kelabu (pengedar tidak rasmi), di mana jam tangan pada harga diskaun boleh ditemui,” kata Jon Cox, penganalisis industri dengan syarikat perkhidmatan kewa-ngan, Kepler Cheuvreux.

    “Bagaimanapun, mereka menyedari terdapat ‘kesan halo’ terhadap harga sekunder yang kukuh, justeru meningkatkan nilai jenama jam tangan baharu,” katanya kepada AFP.
    Untuk jenama mewah kelas atas seperti Richard Mille (gambar – AFP), dengan purata harga jam tangan melebihi 260,000 franc Swiss, jam tangan terpakai merupakan satu cara untuk meningkatkan imej mereka.

    “Kami mungkin mempunyai pelanggan yang memberitahu kami, ‘terdapat 100 jam tangan edisi terhad; ia sentiasa menjadi impian saya untuk membeli satu dan sekarang saya mempunyai wang tetapi awda tidak lagi menghasilkannya dan ia hampir mustahil untuk ditemui’,” kata Alexandre Mille, yang mengambil alih perniagaan daripada bapanya selaku pengasas jenama itu.

    Mille berkata pasukannya boleh mengenal pasti jam tangan yang dicari. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...